PBNP kemuka rayuan

0
40
Advertisement



KUANTAN: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) sudah membuat rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi membolehkan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan sejurus pemain Gambia itu diberi taraf kerakyatan Malaysia, April lalu.

Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, rayuan itu bagi permohonan pemain itu beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) didaftarkan sebagai pemain tempatan.

“Sebagai rakyat Malaysia, sumbangan Sumareh sebagai pemain tempatan tidak boleh dinafikan terutama bermain dengan Pahang mahupun skuad Harimau Malaysia.

“Tetapi, kita akui dengan kriteria dan peraturan yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung status pemain yang berasal dari luar negara bagi membolehkan Sumareh beraksi sebagai pemain tempatan.

“Sebab itu kita membuat rayuan apabila Sumareh mendapat taraf kerakyatan Malaysia,” katanya.

Mohammed Suffian berkata demikian ketika diminta mengulas isu Sumareh yang perlu menunggu sehingga 2023 sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga M.

Biarpun sudah mendapat kerakyatan Malaysia dan layak beraksi bersama skuad Harimau Malaya namun Sumareh masih belum menepati kriteria dan peraturan yang ditetapkan oleh MFL.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, pemain yang bukan berdarah kacukan perlu memegang kerakyatannya untuk tempoh selama lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam pasukan itu.

“Kita sudah keluarkan peraturan dan membuat pengumuman mengenai kelayakan dan kriteria yang diperlukan untuk seseorang pemain itu didaftarkan sebagai pemain tempatan sebelum ini dan ini bukanlah satu peraturan yang baharu.

“Apapun, jika ada cadangan atau rayuan untuk mengkaji semula kriteria ini, sekretariat boleh membawa perkara ini untuk dibentangkan kepada Lembaga MFL sebelum mereka membuat apa apa keputusan mengenainya,” kata Kevin.

Sebelum ini, status Sumareh yang didaftarkan sebagai pemain import Pahang pada musim ini menimbulkan tanda tanya selepas dia sudah menjadi rakyat negara ini.

Pemain berusia 23 tahun itu sudah mendapat taraf kerakyatan Malaysia April lalu dan memiliki rekod cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sejak membuat penampilan pertama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2013.

Dia juga sudah menetap di Malaysia sejak berusia 13 tahun dan memulakan karier bola sepak profesional empat tahun kemudian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here