Pekan Rabu perlu pelbagaikan perniagaan – Tun Mahathir

0
611
Advertisement
ALOR SETAR: “Ramai peniaga tapi jual barang yang sama.”

Itu komen Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad setelah menghabiskan hampir satu jam setengah mengunjungi Kompleks Pekan Rabu di sini yang baru dirasmikan bulan lepas.

“Saya nampak peniaga lebih ramai daripada dulu, tetapi masalahnya semua jual barang yang sama.

“Kalau kita masuk satu kedai, beli-beli… kita tak payah masuk kedai lain dah,” katanya selepas melakukan lawatan tersebut sempena kepulangan beliau ke Kedah hari ini.

Tambahnya, beliau akan cuba fikirkan idea baru untuk mempelbagaikan perniagaan di kompleks tersebut kerana setakat ini, para peniaga belum kemukakan apa-apa cadangan lagi.

Orang ramai mengerumuni Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau mengunjungi Pekan Rabu Alor Setar hari ini. - BERNAMA
Kunjungan mengejut Dr Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi, ke Pekan Rabu ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan anaknya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz serta isteri Mukhriz, Tok Puan Norzieta Zakaria.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa melawat beberapa lot gerai dan membeli beberapa kelengkapan seperti songkok, kopiah, sejadah dan kuih raya.

Antara tumpuan beliau di sana pastinya gerai Sardi Dahar yang menjual ‘Songkok Style Tun’ yang menjadi kegemarannya dan dipakainya sejak sekian lama.

Kehadiran Dr Mahathir yang diketahui umum suka mengunjungi Pekan Rabu setiap kali bulan Ramadan itu mencuri tumpuan ramai pengunjung yang teruja melihat kehadirannya, dengan tidak melepaskan peluang mengambil swafoto bersama.

Kompleks Pekan Rabu baharu dibina di atas tapak seluas 5,062 meter persegi dan bernilai RM55.57 juta. Ia mempunyai 355 ruang niaga dan siap pada 15 Jan lalu.

BACA: Kompleks Pekan Rabu baharu mula operasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here