Pelabur China pamer minat untuk melabur semula di Malaysia

0
467
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelabur dari China menaruh keyakinan terhadap Malaysia dan merancang untuk melabur semula memandangkan negara ini menawarkan landskap politik yang stabil dan persekitaran pelaburan menggalakkan, kata Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Tan Yew Sing.

Beliau berkata pihaknya telah bertemu dengan pelabur China dan mereka memaklumkan hasrat mahu melabur kembali di Malaysia.

“Saya telah bercakap dengan pelabur China dan mereka merancang membuat pelaburan semula sekiranya kita mempunyai dasar ketelusan bagi sifar toleransi ke atas korupsi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di sini, hari ini

Beliau berkata, susulan siasatan yang giat dilaksanakan ke atas entiti swasta dan kerajaan, Malaysia dijangka menjadi lebih kompetitif bagi jangka panjang, ini kerana korupsi menyebabkan kos perniagaan ke atas rakyat.

Peralihan pimpinan negara kepada Pakatan Harapan telah berjalan dengan lancar dan dianggap sebagai antara peralihan yang paling aman dalam kalangan negara membangun, katanya.

Tan berkata pelaburan dari China adalah penting seperti juga pelaburan langsung asing yang lain, bagaimanapun terpulang kepada pertimbangan kerajaan untuk memutuskan projek yang akan membawa manfaat kepada Malaysia.

“Projek yang tidak memberi sebarang manfaat kepada Malaysia perlu dikaji semula. Kita perlu mengalu-alukan pelaburan yang menggabungkan aspek modal insan tempatan, teknologi tempatan dan pemindahan teknologi,” katanya.

Mengenai mesyuarat dengan Majlis Penasihat Kerajaan, Tan berkata organisasinya akan menyediakan laporan berhubung isu yang dialami komuniti perniagaan di peringkat akar umbi.

“Kami mengadakan mesyuarat hari ini dan laporan bertulis akan diserahkan kemudian kepada majlis tersebut,” katanya sambil menambah laporan itu dijangka dikemukakan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

Mengenai sama ada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pelaburan hartanah China turut dibincangkan semasa mesyuarat itu, Tan berkata perkara berkenaan juga disebut namun tidak secara terperinci.

“Secara asasnya (laporan itu akan merangkumi) maklum balas terhadap ekonomi Malaysia dan (saya yakin) kita perlu menarik semua jenis pelaburan asing, bukan hanya dalam pembangunan hartanah sahaja…(persoalannya) adalah lebih kepada jenis industri dan pelaburan yang diperlukan Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here