Pelabur Hungary sifatkan Malaysia sebagai pintu masuk terbaik ke pasaran ASEAN

0
309
Advertisement

KUALA LUMPUR: Para pelabur dari Hungary menganggap Malaysia sebagai pintu masuk terbaik bagi membolehkan mereka menembusi pasaran Asia Tenggara yang memiliki penduduk berjumlah 600 juta orang, menurut Duta Besar negara itu, Attila Kali.

“Di Malaysia, anda memiliki latar belakang perundangan dan institusi serta infrastruktur mantap yang perlu bagi membolehkan syarikat-syarikat memasuki pasaran Asean (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara). Malaysia merupakan satu destinasi yang menarik dan rakan kongsi untuk perniagaan Hungary,” kata duta itu.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa hubungan dua hala antara Budapest dan Putrajaya akan terus berkembang di bawah kerajaan baharu Malaysia.

“Saya optimistik dengan hubungan itu berdasarkan keterbukaan dan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kerjasama ke tahap yang lebih tinggi,” katanya sambil menambah bahawa beliau menjangka dapat melihat pergerakan di tahap lebih tinggi antara kedua-dua negara pada tahun-tahun akan datang.

“Para pelabur Hungary melihat Malaysia sebagai pintu masuk ke seluruh Asean, dan Hungary juga sebaliknya boleh menjadi pintu masuk yang baik untuk syarikat Malaysia menembusi pasaran Eropah. Kami mempunyai pertanyaan daripada kedua-dua pihak berhubung peluang-peluang pelaburan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Kali berkata kedutaannya juga berusaha meningkatkan kesedaran berhubung potensi perniagaan sedia ada di Hungary dan pada masa sama, membolehkan perniagaan-perniagaan Hungary melihat peluang besar yang ditawarkan Malaysia.

“Kami melihat lebih banyak pertanyaan daripada perniagaan Hungary terutama dalam bidang teknologi maklumat (IT), penyelesaian teknologi, peralatan perubatan serta industri makanan dan minuman seperti produk daging yang telah diproses. Terdapat cabaran bagi mendapatkan akreditasi daripada pihak berkuasa Malaysia namun kami tidak akan berputus asa dan berusaha untuk mendapatkannya,” kata beliau.

Beberapa syarikat Hungary juga berminat untuk membawa penyelesaian dan teknologi mereka ke pasaran Malaysia dengan kepakaran dalam bidang pengurusan air seperti penulenan, rawatan air sisa, sistem kuasa hidro berskala kecil dan teknologi hijau bertujuan mempromosi alam sekitar yang lebih bersih.

Kali berkata beliau juga ingin melihat lebih banyak penglibatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari kedua belah pihak dalam perdagangan antara kedua-dua negara, serta berharap komuniti itu akan lebih aktif dan memainkan peranan lebih besar dalam perdagangan dua hala Hungary-Malaysia.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat lebih banyak penyertaan daripada syarikat multinasional.

“Kedutaan sedang berusaha menyokong PKS Hungary untuk mencari peluang dalam pasaran Malaysia,” katanya.

Mengulas hubungan politik kedua-dua negara, Kali berkata ia berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang isu luar biasa antara Hungary dan Malaysia.

Berbekalkan asas yang baik ini, langkah akan diambil untuk membina rangkaian ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan pelancongan, katanya.

Kali juga berkata kedutaannya kini aktif mempromosi Hungary sebagai sebuah destinasi pelancongan.

Terkenal dengan kekayaan seni bina klasik, budaya, khazanah semula jadi dan tapak warisan, ibu kotanya, Budapest, turut diberi jolokan “pusat spa dunia” sejak berdekad.

Satu lagi ciri popular Hungary ialah kekayaan perigi air panasnya yang mengandungi mineral terlarut dan menyediakan kuasa perubatan serta penyembuhan melalui mandian dan minuman.

Pada masa ini, terdapat lebih seribu perigi di Hungary yang membekalkan air panas dan kebanyakannya digunakan bagi tujuan perubatan.

Terletak di Eropah tengah, Hungary merupakan sebuah negara bersaiz sederhana dalam Kesatuan Eropah dengan jumlah populasi kira-kira 10 juta orang.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here