Pelaburan China di Malaysia terlalu besar untuk gagal – laporan

0
147
Advertisement
KUALA LUMPUR: Susulan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) yang terbentuk pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14), akhbar milik taikun China, yang juga penasihat digital ekonomi Malaysia Jack Ma, menyifatkan hubungan China-Malaysia terlalu besar untuk gagal.

Portal South China Morning Post yang berpangkalan di Hong Kong itu melaporkan demikian, memetik analisis seorang pakar dari Economist Intelligence Unit, Fung Siu, yang percaya sebarang perubahan hanya bersifat ‘skala kecil’.

“Retorik (Tun Dr) Mahathir Mohamad adalah kasar, tetapi beliau dan Kabinetnya harus melaksanakan penilaian terhadap ekonomi sebelum membuat sebarang keputusan,” menurut akhbar itu.

Tambahnya, sebarang perubahan dalam hubungan antara Malaysia dan China pasti akan menjejaskan keyakinan pelabur.

“Walaupun wajar bagi hubungan China-Malaysia untuk terus berkembang dalam tempoh panjang, semakan semula terhadap projek-projek yang disokong China mungkin akan memperlahankan kemajuan (kerjasama).

“Sementara itu, perubahan dalam perjanjian yang sudah dipersetujui akan menyebabkan kebimbangan pasaran jangka pendek,” memetik kata-kata penganalisis dari bank pelaburan CLSA, Alexious Lee, yang berpangkalan di Hong Kong.

Projek yang dibiayai institusi kewangan China di seluruh negara.

Ia turut melaporkan Alex Holmes, pakar ekonomi dari Capital Economics yang beribu pejabat di London, yang menjangkakan pelaburan daripada China ke Malaysia dijangka susut dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), Malaysia merupakan penerima pelaburan China keempat terbesar pada tahun lepas, berbanding pada 2015 apabila ia berada di tempat ke-21.

DBS Bank pula melaporkan, pelaburan China ke Malaysia pada tahun lalu bernilai AS$2.36 bilion.

Bagaimanapun, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Yusof Saari berpendapat, kerajaan PH tidak akan membatalkan projek melibatkan China jika ia mendatangkan kebaikan kepada Malaysia.

“Semuanya bergantung kepada kajian dan penelitian kerajaan. Dan keputusan bergantung kepada kedudukan kewangan, kemampuan bayar balik dan sejauh mana projek tersebut menjana pulangan di masa hadapan,” jelasnya kepada Astro AWANI.

“Harus diingat, hutang yang dibuat hari ini akan ditanggung oleh generasi akan datang. Dan kita tidak mahu generasi akan datang terbeban akibat hutang negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here