Pelaburan langsung, portfolio ke luar negeri cecah RM908 bilion setakat Jun 2017

0
25

KUALA LUMPUR: Pelaburan langsung dan porfolio ke luar negeri oleh entiti Malaysia berjumlah RM908 bilion setakat Jun 2017, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Kementerian Kewangan berkata lebih separuh daripada pelaburan tersebut, atau sebanyak RM574 bilion, terdiri daripada pelaburan langsung asing di luar negeri oleh syarikat-syarikat Malaysia (DIA).

“Destinasi DIA termasuk Singapura yang menyumbang 16 peratus kepada jumlah tersebut, Indonesia (sembilan peratus), Kanada (tujuh peratus), Australia dan United Kingdom (masing-masing lima peratus) dan India (empat peratus),” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Makin @Marcus Mojigoh (BN- Putatan) mengenai jumlah pelaburan mata wang Malaysia yang mengalir ke luar negara setakat Disember 2016.

Menurut Kementerian Kewangan, mengikut pecahan sektor, DIA disalurkan terutamanya ke sub-sektor perkhidmatan kewangan, iaitu 35 peratus, perlombongan sebanyak 19 peratus, serta perkhidmatan telekomunikasi berjumlah lapan peratus.

Bagi pelaburan portfolio oleh permaustautin, kementerian tersebut berkata ia berjumlah RM334 billion pada akhir Jun 2017.

“Lebih kurang dua pertiga daripada jumlah ini terdiri daripada aset yang dipegang dalam bentuk sekuriti,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kewangan mendedahkan sebanyak 1,043 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) oleh agensi-agensi berkaitan, di mana 145 kes telah dihadapkan ke mahkamah dari tahun 2013-2016.

“Bagi kes-kes di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM), sejumlah 138 kertas siasatan telah dibuka dan 44 kes telah dihadapkan ke mahkamah dari tahun 2008-2016,” katanya bagi menjawab soalan Makin mengenai jumlah kes di bawah AMLATFA yang didakwa di mahkamah dan disabitkan kesalahan oleh BNM setakat 2016.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here