Pelajar lemas: Tindakan tegas kepada individu, pihak cuai – P. Kamalanathan

0
102



KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan tegas kepada individu ataupun pihak yang cuai hingga menyebabkan kematian terhadap tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan ketika menjalani kem perkhemahan semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P. Kamalanathan berkata pihak penganjur didapati cuai kerana tidak mengikuti prosedur operasi standard dan surat pekeliling yang dikeluarkan kementeriannya.

“Kita mesti sentiasa berwaspada ketika menjalankan program dan seperti program ini laluan itu memang tidak ada dalam program tersebut.

“Kita syorkan kepada penganjur-penganjur program sebegini untuk siasat dan ambil yang betul serta jangan keluar daripada prosedur-prosedur yang sedia ada,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Justeru, pihaknya masih menunggu hasil laporan penuh berhubung kejadian tersebut sebelum sebarang tindakan diambil terhadap pihak mereka yang cuai.

Beliau pada masa sama turut memberi peringatan kepada mana-mana penganjur kem perkhemahan untuk tidak melakukan program di luar pekeliling yang disediakan kerana ia melibatkan nyawa pelajar.

“Masalahnya, bila kita tidak mematuhi surat pekeliling, maka wujudlah masalah yang seperti ini. Kalau kita patuh kepada surat pekeliling sedia ada, tidak akan ada masalah.

“Kita kata keluar sedikit, atau cuba untuk keluar sedikit daripada prosedur, tak boleh cuba sebab kita berurusan dengan nyawa, kita tidak boleh cuba,” katanya.

Hafiz Hamizan Rahman, 16; Daniel Norman, 16, dan Khuzaimi Zakaran, 17 ditemui lemas ketika menyertai program perkhemahan di sebuah resort di Membakut, semalam.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul memaklumkan laluan berair iaitu lokasi dimana pelajar terbabit tergelincir dan lemas, tiada dalam kertas kerja program yang disenaraikan sekolah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here