'Pelakon baru zaman ini manja'

0
98



Menjengah pengalaman selama 30 tahun dalam industri memberikan ruang kepada pelakon dan pengarah, Rusdi Ramli menimba 1,001 pengalaman hebat

Hari ini Rusdi agak kurang muncul di depan kamera, namun tidak bermakna dia tidak melihat atau memerhati perkembangan dunia lakonan.

Pengalaman itu juga membuatkan Rusdi terpanggil meluahkan pendapatnya kepada BLING! mengenai perkembangan industri hari ini yang semakin hari semakin berbeza daripada dulu.

“Budaya kerja pelakon sekarang sudah banyak berbeza. Ada ramai pelakon baru yang tidak buat persediaan sebelum masuk ke set, sekali gus menyusahkan banyak pihak lain,” katanya.

Rusdi yang pernah menang gelaran Aktor Terbaik juga berkata, pelakon muda hari ini beruntung kerana sikap pengarah yang tidak terlalu garang.

“Kalau zaman saya dulu, pengarah memang sangat garang dan tegas. Kerana pengarah hari ini kebanyakannya sangat baik, jadi pelakon muda jadi sangat manja!

“Malah ada juga pelakon baru yang kalau ditegur terus mengadu kepada penerbit dan stesen TV, jadi kami golongan pengarah terpaksa telan saja sikap mereka itu” katanya dengan nada kesal.

Menurut Rusdi, sebagai pengarah, dia kadangkala sampai terpaksa mengadakan ‘kelas lakonan’ setiap kali di set.

“Boleh dikatakan setiap kali berada di set, sebelum memulakan penggambaran, saya perlu adakan ‘kelas lakonan’ untuk pelakon baru ini.

“Setiap babak ada situasinya dan kalau itu pun mereka tidak faham, susahlah. Mereka masih banyak kena diajar,” kata pelakon Waris Jari Hantu dan Tanda Putera ini.

Tambah Rusdi, tugas sebagai pengarah juga semakin berat apabila pada masa sama, terpaksa menjaga karakter pelakon.

“Pelakon sepatutnya menjaga karakter mereka dan tugas pengarah adalah untuk mengarah dengan persiapan mereka sendiri. Tapi, kerana sikap sesetengah pelakon muda, pengarah terpaksa memegang tanggungjawab menjaga karakter pelakon,” kata Rusdi.

Rusdi juga memberikan contoh ketika dia menjalani penggambaran filem Qabil Khushry Qabil Igam.

“Ketika itu, saya berlakon bersama bintang besar dalam industri seperti Hans Isaac, Erra Fazira dan Ziana Zain.

“Kami bukanlah terlalu rapat ketika di set dan masing-masing buat hal sendiri. Namun, melangkah saja ke dalam set dan menjadi karakter, semuanya berjalan lancar kerana persediaan yang lengkap dan masing-masing buat ‘homework’,” katanya.

Ditanya mengenai pelakon pelapis yang dilihat memiliki potensi untuk berkembang, Rusdi menyenaraikan beberapa nama.

“Antara yang saya lihat mampu memberi warna terang kepada industri lakonan kita sehingga ke peringkat lebih tinggi adalah Bront Palarae, Zahiril Adzim, Beto Khusyairi dan Azhan Rani,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here