Pelanggan Australia ditawar bayaran balik jika internet lembab

0
19

CANBERRA: Syarikat telekomunikasi kedua terbesar di Australia, Optus, akan membayar balik kepada pelanggan Rangkaian Jalur Lebar Kebangsaan (NBN), yang tidak menerima kelajuan Internet seperti dijanjikan, lapor agensi berita Xinhua.

Langkah itu diumumkan Optus pada Khamis, sehari selepas Telstra, syarikat telekomunikasi terbesar Australia, mendedahkan akan membuat bayaran balik kepada 42,000 pelanggan NBN, yang mengalami masalah kelajuan Internet.

Syarikat telekomunikasi menerima tekanan untuk menawarkan bayaran balik, selepas siasatan Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC), merumuskan bahawa kelajuan Internet sehingga 100 megabait sesaat (mbps) “tidak dapat dicapai dalam keadaan dunia sebenar.”

ACCC turut memberi amaran kepada setiap syarikat telekomunikasi, yang menawarkan perkhidmatan NBN, bakal  berdepan tindakan undang-undang, jika mereka tidak menawarkan bayaran balik.

“Optus kini dalam proses menyediakan penyelesaian bersesuaian kepada pelanggan yang mengalami masalah perkhidmatan NBN,” kata seorang jurucakap syarikat kepada Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif Optus, Allen Lew berkata, pihaknya akan memastikan para pelanggan mendapatkan perkhidmatan yang dilanggani, dan jika sebaliknya syarikat akan meneliti penyelesaian yang sesuai berdasarkan setiap kes. 

Optus mempunyai lebih 350,000 pelanggan NBN manakala pelanggan Telstra pula lebih 800,000.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here