Pelantikan CEO baharu MAB perlu disambut baik – PM Najib

0
30

SERDANG: Pelantikan bakat tempatan Kapten Izham Ismail untuk menerajui Malaysia Airlines Bhd (MAB) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) syarikat penerbangan negara itu perlu disambut baik oleh semua pihak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pelantikan itu seharusnya menamatkan kritikan terhadap kerajaan, termasuk berhubung pelantikan dua warga asing (Christopher Mueller dan Peter Bellew) yang meletak jawatan sebelum tamat tempoh kontrak mereka sebagai GCEO syarikat penerbangan negara itu.

“Semasa Peter Bellew meletak jawatan, saya turut dikritik. Sekarang kita sudah lantik seorang rakyat Malaysia, mereka sepatutnya gembira, sejak mula lagi mereka memang mahukan seorang rakyat Malaysia.

“Masalahnya dengan mereka ini (pembangkang) ialah apa saja yang kami lakukan, mereka akan lihat daripada pandangan yang berbeza, sama ada betul atau tidak, itu tidak penting,” kata Najib semasa sesi dialog mengenai TN50: Sidang Kemuncak Belia Cina 2017 di Wisma Huazong, Serdang dekat sini, yang turut dihadiri Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Izham, ketika ini merupakan Ketua Pegawai Operasi, dilantik sebagai Pengarah Eksekutif dan GCEO berkuat kuasa Jumaat.

Pengumuman itu dibuat susulan peletakan jawatan mengejut Bellew, yang akan kembali ke syarikat penerbangan Ireland, Ryanair, pada 1 Dis.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here