Pelepasan GST untuk projek ECRL manfaatkan rakyat

0
192
Advertisement

BENTONG: Pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada China Communications Construction Company (CCCC), kontraktor Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), akan memanfaatkan rakyat pada akhirnya, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau juga menyifatkan perkara itu sebagai ‘logik’ memandangkan kerajaan sebagai pemilik projek sudah tentu mahu mengurangkan kos dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam pelaksanaan sesuatu projek.

“Jika mengenakan GST, kerajaan juga perlu membayar harga yang lebih tinggi dan akhirnya pengguna terpaksa membayar harga tiket yang lebih mahal. Oleh itu untuk memastikan rakyat menerima manfaat daripada ECRL, pengecualian GST diberikan.

“Perkara ini (pelepasan GST kepada CCCC) dimainkan oleh orang yang cuba memperlekehkan dan memanipulasi isu sedangkan jelas bahawa perkara penting adalah ia akan meringankan kos untuk rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat perkembangan pelaksanaan projek ECRL di sini, pada Khamis.

Pelepasan CCCC daripada membayar GST menjadi tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu selepas seorang pemimpin pembangkang memuat naik sijil pelepasan cukai itu ke dalam akuan media sosial miliknya.

Dalam perkembangan lain, Liow memohon supaya kerajaan negeri Selangor dapat memulakan kerja-kerja pengambilan tanah bagi pelaksanaan laluan projek berimpak tinggi itu yang akan menghubungkan Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Saya berharap mereka (kerajaan negeri Selangor) dapat mempercepatkan proses ini kerana dibimbangi kelewatan mereka akan menjejaskan tempoh siap projek ini sedangkan ia merupakan projek penting untuk manfaat masyarakat,” katanya.

Projek ECRL yang melibatkan laluan sepanjang 688 kilometer (km) dengan 28 stesen dan bernilai RM55 bilion itu dijadualkan siap pada Jun 2024.

Liow menambah kerajaan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan memberikan kerjasama yang baik dan sudah memulakan proses pengambilan tanah untuk laluan kereta api tersebut.

Beliau juga menafikan bahawa syarikat tempatan tidak diberikan peluang dalam pelaksanaan ECRL kerana lebih 27 syarikat perunding tempatan dipilih untuk terlibat dalam pelaksanaan projek itu di Bentong.

“Malah pihak terlibat juga akan mengadakan sesi temuduga untuk mengisi kekosongan jawatan di Bentong pada tarikh yang akan ditentukan kemudian. Saya sendiri berharap lebih ramai penduduk daerah ini khususnya golongan belia merebut peluang yang ditawarkan.

“Semua dakwaan yang mengatakan ini projek kepada kerajaan China yang menutup peluang kerja rakyat tempatan dan menggadaikan kedaulatan negara adalah suatu kenyataan yang tidak benar sama sekali,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan kerja pelaksanaan projek itu, Liow berkata beliau berpuas hati dengan garis masa pelaksanaannya dengan mesin untuk kerja mengorek tanah bagi pembinaan terowong sepanjang 16.3 km yang menghubungkan Bentong dan Gombak dijangka tiba pada November depan.

Katanya, kerja-kerja mengorek terowong itu boleh bermula pada akhir tahun ini dan dijangka memerlukan masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here