Peletakan jawatan CEO Kumpulan Astro tiada kaitan dengan politik

0
449
Advertisement

KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan tidak berkaitan dengan politik.

Penyerahan notis enam bulan oleh Datuk Rohana adalah prosedur biasa untuk memastikan peralihan tugas yang lancar kepada penggantinya.

“Perancangan ini sudah dibuat berbulan lalu. Pengumuman ini hanya prosedur biasa yang dibuat selepas penyerahan notis enam bulan,” kata Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi.

BACA: Rohana Rozhan letak jawatan CEO Kumpulan Astro

Tun Zaki merujuk kepada spekulasi yang mendakwa peletakan jawatan Rohana adalah berkaitan dengan keputusan beberapa ketua jabatan kerajaan yang meletakkan jawatan sepanjang minggu lalu.

Rohana sendiri mengakui lebih dua dekad beliau mendedikasikan masa dan tenaga untuk Astro, kini masa yang sesuai untuk beliau menumpukan perhatian kepada keluarga.

“Sudah 24 tahun saya bersama Astro, sudah tiba masanya saya memberi tumpuan kepada perkara baharu pula. Tetapi saya tetap bersama Astro sebagai ahli lembaga pengarah bukan eksekutif.

“Saya seorang yang workaholic. Apabila bekerja, saya akan bekerja 24 jam tanpa henti.

“Saya merancang mahu mengambil cuti panjang bersama keluarga. Saya tidak ingat bila saya benar-benar bercuti kerana sewaktu bercuti pun ada kalanya saya akan tetap menjawab panggilan berkaitan kerja,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat pemegang saham kumpulan di ibu pejabat Astro di Astro All Asia Broadcast Centre, Bukit Jalil di sini hari ini.

Mengulas tentang masa depan industri penyiaran yang kini bersaing dengan digital, Tun Zaki memaklumkan Astro tetap yakin penonton tetap masih mahukan televisyen sebagai sumber hiburan dan maklumat.

“Kita akan mengambil kesempatan atas situasi semasa. Astro AWANI contohnya, begitu popular kini. Jadi kita mengambil kesempatan untuk terus memberikan yang terbaik dan memenuhi selera penonton,” kata beliau.

Peletakan jawatan Rohana akan berkuat kuasa pada 31 Januari 2019, dan tempat beliau akan diambil alih oleh Ketua Bahagian Kandungan dan Pengguna Kumpulan Astro, Henry Tan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here