Pelihara ekosistem

0
15



Kuala Terengganu: Salah satu sumber protein negara datangnya daripada industri perikanan namun ketidakseimbangan ekosistem boleh mengakibatkan kekurangan hasil daripada aktiviti perikanan pada masa depan.

Kekurangan sumber perikanan boleh memberi kesan kepada pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia dan isu ketidakseimbangan ekosistem ini tidak seharusnya dipandang sepi dan memerlukan kerjasama semua pihak.

Terdapat beberapa faktor ketidakseimbangan ekosistem seperti penangkapan ikan yang tidak mengikut prosedur ditetapkan, pencemaran, penambakan kawasan laut, pembinaan bangunan berhampiran laut dan aktiviti pelancongan seperti menyelam sehingga membawa kepada kemusnahan ekosistem.

Negara bakal menanggung kerugian kerana pulau di Malaysia yang menjadi tumpuan pelancong jika ekosistemnya musnah, segala keunikan dan khazanah yang ada di perairan negara juga pupus.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, kemusnahan ekosistem boleh dikaitkan dengan pengurangan tempat pembiakan dan urus asuh hidupan laut seperti ikan, udang, sotong dan sebagainya serta penggunaan peralatan dan peranti penangkapan ikan tanpa kawalan memusnahkan ekosistem di laut.

Menurutnya, kawasan laut dan paya bakau saling bergantung dalam memastikan kelestarian sumber marin dan ekosistem.

“Sebagai contoh, ekosistem rumpai laut menjadi tempat pembiakan dan urus asuh spesies seperti ikan, udang dan ketam.

“Bukan semua spesies bertelur atau membiak di laut kerana ada membiak di paya bakau dan sebaliknya. Sekiranya tempat pembiakan terganggu sama ada disebabkan aktiviti manusia atau putaran alam, ia menyebabkan pengurangan habitat untuk sumber perikanan membiak sekali gus mengakibatkan sumber perikanan juga merosot.

“Selain itu, penggunaan peralatan dan peranti penangkapan ikan seperti pukat tunda dan pukat gading bertanggungjawab dalam merosakkan ekosistem di dasar laut termasuk terumbu karang yang menjadi lubuk tempat pembiakan ikan,” katanya.

Menurut Dr Mazlan, Malaysia bukan negara yang sering mengalami bencana alam yang boleh menyebabkan kerosakan ekosistem sebaliknya ia berpunca daripada aktiviti manusia sendiri.

“Selain itu, yang terbaru dikesan pencemaran moden yang berpunca daripada serpihan plastik dalam ekosistem yang menjadi sumber pemakanan spesies marin.

“Penangkapan ikan komersial bersaiz kecil juga antara penyebab sumber ikan turut berkurangan apabila ia ditangkap sebelum sempat membesar dan membiak.

“Jika dilihat, saiz ikan ditangkap lebih kecil berbanding saiz ikan dalam tempoh 20 hingga 30 tahun lalu disebabkan kebanyakan peralatan penangkapan ikan yang lebih tertumpu di kawasan pesisir pantai,” katanya.

Dr Mazlan berkata, semua pihak perlu melindungi sumber perikanan dan langkah kerajaan mewujudkan tukun tiruan memberi peluang kepada pemuliharaan dasar laut selain melindungi kawasan terumbu karang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here