Peluang MU raih tiga mata

0
168
Advertisement



MELAKA United (MU) fokus mengutip mata maksimum bagi tiga pertemuan terakhir skuad itu, sekali gus memperbaiki kedudukan di pentas Liga Super musim ini.   

Menghuni tangga ketujuh selepas mengharungi 19 perlawanan dengan mengumpul 24 mata, skuad Hang Tuah dijadual berdepan juara dan naib juara Piala FA iaitu Pahang dan Selangor masing-masing pada 18 dan 21 Julai ini di gelanggang sendiri diikuti Negeri Sembilan di Paroi pada 28 Julai.   

Ketua jurulatih MU E Elavarasan, berkata walaupun berdepan laluan sukar, usaha meraih sembilan mata daripada tiga perlawanan itu menjadi agenda utama pasukan terutama berdepan skuad Tok Gajah dan The Red Giants.   

Ini kerana dua aksi terbabit berlangsung di gelanggang sendiri sebelum MU membuat kunjungan ke Stadium Tunku Abd Rahman, Paroi bertemu skuad Hobin Jang Hobin.

“Bagaimanapun, fokus pertama adalah menghadapi Pahang Rabu ini. Sudah pasti lawan mahu menewaskan kami dalam misi mereka memperbaiki kedudukan di tangga ketiga liga ketika ini.   

“Misi kami juga untuk menang kerana peluang MU untuk berada kedudukan lima teratas atau lebih baik masih terbuka dengan syarat memenangi semua baki perlawanan,” katanya.   

Justeru Elavarasan mahu pemainnya kembali memperoleh rentak seperti kemenangan menewaskan Kedah 4-1 di Stadium Hang Jebat selepas sedikit terganggu berikutan terikat 1-1 berdepan Kelantan Sabtu lalu di Kota Bharu. 

“Saya yakin pemain akan memberi tumpuan yang positif berdepan Pahang kerana tiga mata memberi suntikan motivasi menjelang saingan bertemu Selangor dan Negeri Sembilan kelak,” katanya.   

Pahang yang berada di kedudukan ketiga setakat ini dengan mengumpul 30 mata pasti berjuang habis-habisan untuk membenam MU, sekali gus mengubah kedudukan carta liga untuk melonjak di tangga kedua yang kini dihuni Perak (32 mata).   

Namun, jika Tok Gajah tewas kepada Kedah dan Terengganu yang berada di tangga keempat dan kelima dengan jumlah 30 mata yang sama, mampu di pintas lawan, termasuk PKNS (29 mata) jika masing-masing meraih kemenangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here