Peluang sewa Proton RM45 sehari untuk perkhidmatan Uber

0
54

KUALA LUMPUR: Mereka yang ingin bekerja sendiri untuk menjana pendapatan, kini boleh memohon menjadi pemandu Uber dengan menyewa kereta Proton pada kadar hanya RM45 sehari.

Dikenali sebagai Quick Ride, perkhidmatan ini diwujudkan selepas satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara pembekal perkhidmatan e-hailing itu, pengeluar kereta nasional, Proton, dan Quick Ride Sdn Bhd, sebuah syarikat yang baru dilancarkan, dengan rekaan konsepnya oleh Cartrade Group dan Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB).

Pengerusi Eksekutif KAPB, yang juga pengerusi Quick Ride, Datuk Mohamed Ilyas Mohamed berkata sebagai permulaan, 1,000 unit kereta akan disediakan untuk disewa dan dijangka direbut sepenuhnya oleh pemohon.

Jumlah itu mungkin bertambah beransur-ansur hingga mencapai 10,000 unit dalam masa dua tahun.

Bercakap kepada pemberita selepas upacara menandatangani MoU itu di sini hari ini, Mohamed Ilyas berkata pemohon boleh memilih Proton Saga pada kadar sewa RM45 sehari atau Proton Persona pada kadar RM55 sehari dengan syarat yang mudah, termasuk tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk penyenggaraan, cukai jalan dan insurans.

“Mereka yang berminat, boleh mendaftar melalui laman sesawang Quick Ride atau datang ke pejabat kami di Menara Kembar Bank Rakyat, kami dan Uber akan memproses permohonan berkenaan.

“Sekiranya semua syarat dipenuhi, pemohon akan dipanggil untuk menandatangani kontrak dan membayar deposit RM1,000 untuk pajakan selama tiga tahun, yang boleh ditamatkan lebih awal, tetapi dikenakan penalti,” katanya.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Quick Ride Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas, Pengurus Besar bagi pembangunan Uber Malaysia Karina Ali Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

Sementara itu, Mohamed Fahmi berkata Quick Ride menerima kira-kira 380 permohonan sejak pendaftaran dibuka pada 27 Ogos dan daripada jumlah itu, kira-kira 40 telah diluluskan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here