Peluang terakhir

0
52



Madrid: Hanya kemenangan di final Copa del Rey menentang Alaves awal pagi esok akan menjadi penyelamat kepada maruah Barcelona musim ini sekali gus membolehkan Luis Enrique meninggalkan pasukan itu dengan tenang sambil Basques memasang impian untuk menjulang piala berkenaan buat kali pertama.

Pada perlawanan terakhir di Stadium Vicente Calderon yang amat dibanggakan Atletico Madrid, Enrique akan tampil membawa anak buahnya di Barca buat kali terakhir musim ini.

Jika menang, ia akan melengkapkan catatan gemilangnya selaku pengurus yang tidak pernah gagal menjulang Copa del Rey tiga tahun berturut-turut.

Begitupun, dua musim lalu, Copa del Rey hanyalah pelengkap kepada kejayaan bersejarah Barca yang muncul juara berganda tetapi kali ini mereka melangkah ke final tanpa sebarang kejuaraan di tangan.

“Walaupun kami dianggap kurang berjaya musim ini tetapi final pertandingan ini tetap penting dan kami akan bermati-matian,” kata kapten Barca Andres Iniesta.

“Jika menang, kami akan menamatkan musim selaku juara.”

Enrique berdepan masalah untuk menyenaraikan pemainnya apabila Luis Suarez serta Sergi Roberto digantung perlawanan selepas dibuang padang ketika pertemuan menentang Atletico di separuh akhir, Februari lalu.

Paco Alcacer dijangka diberi peluang untuk bermain bagi menggantikan Suarez manakala Enrique berharap Javier Mascherano dapat disenaraikan walaupun pemain itu berdepan masalah hamstring sebelum ini.

Tanpa Suarez, Barca masih mempunyai pemain yang mampu meledak jaringan dengan Lionel Messi sedia untuk beraksi buat kali ke-700 bersama kelab dan negaranya manakala Neymar pula berjaya meledak jaringan di final sejak dua musim lalu.

Sementara itu, Manuel Pellegrino juga mungkin tampil selaku pengurus buat kali terakhir bersama Alaves gara-gara pencapaian anak buahnya yang kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun, Alaves mungkin mampu mengejutkan Barca dan mereka sudah membuktikannya musim ini.

Kemenangan mengejutkan 2-1 di Camp Nou, September lalu mengakibatkan anak buah Enrique itu ketinggalan tiga mata hingga mereka gagal mengatasi Real Madrid.

Tetapi, Alaves juga pernah dibelasah 6-0 oleh Barca ketika kedua-dua pasukan bertemu di Mendizorroza, Februari lalu.

“Mereka mempunyai keinginan untuk menang setiap perlawanan. Itulah sebabnya mengapa mereka sering menang,” kata Pellegrino.

“Kami perlu bermain dengan prestasi yang lebih daripada biasa jika mahu menang.”

SHARE
Previous articleElak perbalahan
Next articleTersingkir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here