Peluang terbaik Ee Yi-Yew Sin

0
436
Advertisement



KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor dua negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin memulakan aksi dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Indonesia, hari ini. 

Kejayaan itu hadir selepas Ee Yi-Yew Sin melakar kemenangan ke atas pasangan tuan rumah, Wahyu Nayaka Arya Pangkaryanira-Ade Yusof Santoso 21-18, 21-11 dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta. 

Hanya tinggal Ee Yi-Yew Sin membawa cabaran beregu lelaki negara di Jakarta selepas pasangan nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama semalam selepas tewas kepada pilihan kelapan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen. 

Ee Yi-Yew Sin bagaimanapun berdepan tugas sukar dalam misi merebut tempat ke suku akhir apabila menentang beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia, esok. 

Jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman berkata, ia peluang buat anak buahnya untuk menguji kemampuan sebenar dan berharap mereka bermain tanpa sebarang tekanan biarpun sedar lawan adalah pilihan utama kejohanan selain dibantu sokongan padu penyokong tuan rumah. 

“Saya harap mereka dapat beri aksi terbaik, bermain seperti biasa tanpa perlu rasa takut dan tertekan.  

“Perlawanan hari ini, Ee Yi-Yew Sin bermain dengan baik dan mengawal perlawanan. Mereka lebih sabar dan berani mengambil risiko ketika melakukan serangan, itu sesuatu perkara yang positif ditunjukkan mereka, saya harap mereka boleh kekalkan momentum,” kata Paulus ketika dihubungi. 

Sementara itu, beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Keshya Nurvita Hanadia-Devi Tika Permatasari 25-23, 21-13 dan akan bertemu pilihan pertama dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan. 

Saingan acara beregu campuran pula menyaksikan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mara ke pusingan kedua selepas menewaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 21-19, 21-19. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here