Pembangkang kitar semula fitnah terhadap PM Najib – Syed Ali

0
67



KUALA LUMPUR: Usaha pembangkang mengitar semula isu fitnah terhadap Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bukan perkara pelik malah akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, pembangkang menjadikan Datuk Seri Najib Razak sebagai sasaran utama dalam usaha mereka menjatuhkan kerajaan.

“Pembangkang sengaja menidakkan apa sahaja penjelasan yang dibuat oleh kerajaan dan Perdana Menteri berhubung pelbagai perkara yang difitnahkan.

“Sepatutnya mereka (pembangkang) terima penjelasan tersebut dengan hati terbuka, bukannya memutarbelitkannya kerana agenda politik sehingga tergamak bersekongkol dengan pihak luar,” tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

BACA: Malaysia zahir kebimbangan dengan kegagalan DoJ dapatkan kerjasama dalam saman sivil 1MDB

BACA:┬áLaporan Sarawak Report hanya berunsur fitnah – Salleh

Katanya, beberapa isu seperti saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) berkaitan 1MDB akan diputarbelitkan pembangkang bagi mencemar dan seterusnya memusnahkan reputasi pentadbiran Perdana Menteri.

“Dalam keadaan terdesak, pembangkang menjadikan saman sivil terbaru DoJ sebagai senjata politik untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri walaupun kesahihannya belum terjawab.

“Isu DoJ pada hemat saya pernah dibangkitkan pada tahun lalu, tetapi sengaja dikitar semula dengan olahan baru kerana pembangkang berpendapat PRU semakin hampir,” ujarnya.

Syed Ali turut khuatir, perbuatan bersekongkol dengan pihak luar terutama yang berpengkalan di Barat akan mendatangkan musibah politik kepada Malaysia pada masa akan datang.

Memandang serius isu tersebut, beliau berharap rakyat terutama orang Melayu yang menyokong perjuangan UMNO tidak terjebak dengan fitnah yang dikitar semula itu.

“Pada saya, isu fitnah dan memanipulasikan beberapa perkara yang berupa dakwaan akan dikitar semula oleh pembangkang, malah akan bertambah agresif menjelang PRU akan datang.

“UMNO tidak terkesan dengan fitnah kitar semula itu kerana tetap berkeyakinan bahawa rakyat tidak begitu mudah menelan apa sahaja disogokkan pembangkang,” katanya.

Beliau juga melahirkan kekesalan kerana nama Datin Seri Rosmah Mansor, kembali diheret dalam kancah fitnah pembangkang.

Katanya lagi, mengaitkan nama isteri Perdana Menteri dengan beberapa isu yang tidak dibuktikan pembabitannya merupakan perbuatan fitnah melampau dan tidak boleh dimaafkan.

“Pembangkang hanya mengaitkan nama Rosmah dengan pelbagai persepsi jahat yang antara lain sebagai senjata untuk mencetuskan sentimen kebencian rakyat terhadap pemimpin kerajaan.

“Pada pemerhatian saya sejak beberapa isu ditular pembangkang, rakyat tidak mudah terpedaya dengan sogokkan fitnah tersebut, malah mereka tetap memberikan sokongan kepada kerajaan dan UMNO,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mengingatkan ahli parti supaya tidak mudah terperangkap dengan mainan fitnah yang ditular pembangkang menerusi laman-laman sosial.

“Pembangkang semakin giat menggunakan laman-laman sosial untuk mengaktifkan bahan-bahan fitnah untuk disogokkan kepada generasi muda khususnya.

“Pelbagai cerita tidak benar, persepsi jahat dan fitnah dikitar semula untuk merancakkan kempen mereka menjelang PRU ke-14 akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here