Pembatalan projek HSR ambil kira semua aspek – TPM

0
92
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura dibuat selepas mengambil kira semua aspek, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai alasan untuk membuat keputusan sedemikian.

“Saya fikir, beliau mengambil kira banyak perkara…sama ada kita mampu atau tidak, sama ada kos efektif atau tidak.

“Biasanya, HSR bukan mode pengangkutan pilihan kerana kita ada pengangkutan lain seperti penerbangan domestik dan tambah murah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat di Kompleks Sukan Pantai Eco Park di sini, pada Selasa.

Pada Isnin, Dr Mahathir mengesahkan bahawa Malaysia akan membatalkan projek berkenaan dan mungkin perlu membayar pampasan sebanyak RM500 juta kepada Singapura.

Projek HSR, yang membabitkan laluan sepanjang 335 kilometer dari Kuala Lumpur ke Singapura, dijadualkan siap pada 2026.

Ditanya mengenai status projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Dr Wan Azizah berkata terma-terma yang terkandung dalam kontrak berkenaan adalah ‘sangat pelik’.

“Perdana Menteri akan melihatnya kerana kita tidak mahu membayar apa-apa pampasan yang akan menjadi kerugian bagi negara,” kata beliau.

Sabtu lepas, Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian dilaporkan berkata bahawa projek ECRL yang sudah bermula kini berjalan lancar dengan kontraktor utama, China Communications Construction Company Ltd, bekerjasama rapat dengan pemilik projek, Malaysia Rail Link Sdn Bhd.

Projek ECRL, yang sepanjang 688 km, menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu. Ia dianggarkan menelan belanja kira-kira RM55 bilion dan dijadual siap pada 2024.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here