Pembeli kad SIM prabayar Thailand wajib jalani biometrik

0
65


SETIAUSAHA Agung Penyiaran dan Telekomunikasi Nasional, Takorn Tantasith. – Foto AP

BANGKOK: Pengawal selia telekomunikasi Thailand berkata sesiapa yang mahu menggunakan atau membeli kad SIM prabayar telefon bimbit di selatan negara itu perlu menjalani pengesahan cap jari dan imbasan wajah.

Tindakan itu diambil bagi menghalang pemisah menggunakannya untuk menghidupkan bom.

Setiausaha Agung Penyiaran dan Telekomunikasi Nasional, Takorn Tantasith, memberitahu Reuters, orang ramai boleh mula mendaftar kad SIM prabayar mereka mulai Rabu depan.

Katanya, ketika pendaftaran, cap jari akan dipadankan dengan data disimpan dalam kad pengenalan.

Kad SIM untuk akaun pasca bayar sudah didaftarkan ketika pembelian.

Jurucakap pasukan keselamatan kerajaan di rantau itu, Pramote Prom-in berkata, pengesahan cap jari akan menjadikannya lebih sukar buat pemisah untuk membeli kad SIM prabayar dan mungkin membantu pihak berkuasa mengesan pengebom.

“Ia dapat membantu mencegah penggunaan telefon bimbit untuk mencetuskan bom dan dengan pendaftaran kami dapat mengesan penyerang,” kata Pramote.

Pramote berkata, namun pemisah baru-baru ini bertukar dengan membeli telefon bimbit dan kad SIM dari Malaysia bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pemberontakan pemisah berdekad lamanya di wilayah etnik majoriti Melayu Islam di Yala, Pattani dan Narathiwat meragut lebih 6,500 nyawa sejak 2004, menurut kumpulan pemantau bebas Deep South Watch. -Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here