Pembeli 'online' mudah tertipu dengan harga terlalu murah – PUIM

0
20

KUALA LUMPUR: Tawaran harga terlalu rendah untuk barangan atas talian menjadi faktor pembeli mudah tertipu sekali gus terperdaya dengan perangkap internet.

Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM) Mohd Azrul Mohd Nor berkata, tanggungjawab juga perlu ada dalam diri setiap pembeli untuk menyelidik sebelum membeli di atas talian.

Jelasnya, sikap berhati-hati perlu diterap pada zaman perniagaan atas talian semakin berkembang kini.

“Pengguna kena ada kesedaran apabila harga terlampau murah dan tidak masuk akal. Mereka juga kena pastikan nama syarikat kena betul dengan nama bank.

“Semak juga adakah nombor akaun itu pernah digunakan untuk urusan lain. Boleh periksa d iGoogle atau Yahoo, pasti keluar nombor penipu.

“Kesedaran pengguna perlu diteruskan, ia makin besar dalam masyarakat. Penipu ini juga lama-lama pasti akan tertangkap akhirnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

BACA: Lebih RM225 juta kerugian pengguna sepanjang 2016 – NCCC

BACA: 4 cara paling selamat membeli-belah atas talian

Mohd Azrul mengulas kenyataan Pengurus Kanan Dasar dan Perundangan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) Shabana Naseer Ahmad mengenai peningkatan aduan dalam sektor e-dagang.

Katanya, ia mencatat jumlah aduan tertinggi iaitu 7,371 aduan dan tertinggi bagi tiga tahun berturut-turut.

Dalam pada itu kata Mohd Azrul, pembeli juga harus mengetahui modus operandi penjual yang biasa menipu di alam siber.

“Buat pembelian di platform yang dikenali dan bukan laman sesawang yang wujud hanya kerana mahu memperdaya mangsa,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau berkata sebanyak 3,921 insiden penipuan dalam talian dilaporkan sepanjang tahun lalu membabitkan pelbagai kes seperti mencuri data, skim penipuan, pembelian barangan dalam talian serta perbankan internet.

Jelasnya, jumlah itu adalah peningkatan kira-kira 20.4 peratus berbanding tahun 2015 yang mencatatkan 3,257 kes penipuan dalam talian bagi kes sama.

Statistik itu berdasarkan laporan Pusat Koordinasi Cyber999 dikendalikan CyberSecurity Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here