Pemilik Airish London dianugerah Usahawan Bumiputera Berjaya

0
322
Advertisement

KUALA LUMPUR: Detik manis buat pemilik syarikat pengeluar kosmetik Airish London, Datuk Aizuddin Ghazali, 34 tahun, apabila dianugerahkan sebagai Usahawan Bumiputera Berjaya pada Majlis Anugerah Usahawan Kebangsaan Cemerlang (Anugerah One) di sini, malam tadi.

Presiden Airish London itu berkata, anugerah yang diterima akan menjadi pemangkin semangat kepadanya untuk lebih berjaya pada masa depan.

“Saya berharap kejayaan ini akan menyuntik semangat usahawan-usahawan muda, terutama usahawan dalam talian untuk lebih berdaya saing dan meniti kemuncak kejayaan dalam perniagaan.

“Kejayaan yang hendak dicapai memerlukan kerja keras, keberanian dan kesanggupan berdepan dengan risiko,” katanya selepas menerima anugerah berkenaan.

Ketika ini katanya, Airish London giat mengembangkan pasarannya di Jakarta dengan menjadikan Malaysia sebagai hab utama di Asia.

“Anugerah One adalah anugerah yang mengiktiraf usahawan-usahawan Malaysia, hasil kejayaan luar biasa usahawan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Ini sekali gus mengharumkan nama Malaysia yang tercalon dalam tujuh kategori utama,” katanya.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada majlis dihadiri 1,000 usahawan, yang turut mencalonkan 80 usahawan pelbagai bidang sebagai pemenang mengikut kategori dipertandingkan.

Antara penerima lain pada anugerah itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy Berhad, Tan Sri Shahril Shamsuddin; Pengerusi Hard Rock Malaysia, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here