Pemilik bersama Lotus berkait dengan hartawan Syed Mokhtar

0
43



Ekoran pembelian 51 peratus pegangan oleh pengeluar kereta Geely Automotive dalam British marque Group Lotus Plc, yang sebelum ini dimiliki oleh Proton, dilaporkan bahawa baki 49 peratus telah diperoleh oleh firma Malaysia yang kurang dikenali, Etika Automotive Sdn Bhd.

Bernama melaporkan Etika adalah milik ahli perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary manakala theSun melaporkan bahawa Syed Mokhtar merupakan pemegang saham dalam Etika dan DRB-Hicom. Syed Mokhtar dikenali sebagai seorang yang rapat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengilhamkan penubuhan pengeluar kereta nasional, Proton.

Syed Mokhtar juga memiliki 55.2 peratus dalam DRB-Hicom, syarikat induk Proton, yang menjual 49.9 peratus kepentingannya kepada Geely.

Carian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa walaupun Syed Mohktar tidak mengawal Etika secara langsung, dua daripada pemiliknya mempunyai hubungan yang rapat dengan hartawan berkenaan.

Dokumen CCM menunjukkan bahawa Etika ditubuhkan pada 9 Jun tahun lepas dengan modal berbayar RM2.

Perniagaan terasnya adalah pembuatan alat ganti kenderaan, enjin dan turbin.

Syarikat itu, yang didaftarkan di Bangsar, Kuala Lumpur, dimiliki oleh Datuk Mohammad Zainal Shaari dan Azman Hanafi Abdullah, kedua-duanya juga berkhidmat sebagai pengarah syarikat itu.

Pemeriksaan dalam talian menunjukkan bahawa Mohammad Zainal merupakan pengarah di sekurang-kurangnya tiga syarikat berkaitan Syed Mokhtar, manakala Azman merupakan pengarah sebuah syarikat hartawan itu.

Mempunyai pengalaman yang luas dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Mohammad Zainal juga pernah berkhidmat di Khazanah Nasional dan Tenaga Nasional. Beliau adalah bekas ketua pegawai operasi Khazanah.

Pada masa ini, beliau adalah pengarah urusan kumpulan Tradewinds (M) Sdn Bhd, yang merupakan salah sebuah syarikat Syed Mokhtar yang terlibat dalam sektor pertanian, seperti pengeluaran gula dan beras serta perladangan kepala sawit.

Anak syarikatnya ialahBernas dan Sugar Refinery Central.

Oleh itu, Mohammad Zainal juga adalah ahli lembaga pengarah Bernas atas kapasitinya sebagai pengarah urusan Tradewinds.

Beliau juga telah dilantik sebagai pengarah NCB Holdings, yang merupakan anak syarikat MMC Corp, satu lagi syarikat utama dalam empayar perniagaan Syed Mohktar. Syarikat ini memberi tumpuan kepada bidang infrastruktur, pengurusan pelabuhan, transit aliran massa dan loji kuasa dan loji air melalui MMC Port Holdings Sdn Bhd dan Malakoff.

MMC Port Holdings mengawal NCB Holdings, yang merupakan operator utama Northport Klang, melalui pegangan 97.04 peratus.

Orang ke-10 terkaya di M’sia

Sementara itu, Azman adalah pengarah di Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd. Syarikat maritim itu dimiliki oleh Indra Cita Sdn Bhd, yang seterusnya dikawal oleh Syed Mohktar dan isterinya Puan Sri Sharifah Zarah Syed Kechik.

Ditubuhkan pada tahun 1991, Seaport Terminal mengendalikan operasi Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Tg Bruas Melaka. Dokumen CCM menunjukkan Etika, Seaport Terminal dan Indra Cita berkongsi alamat pendaftaran yang sama di Bangsar.

Menurut Forbes, Syed Mohktar memiliki aset bernilai AS$1.8 bilion (RM7.74 bilion), dan menjadikannya orang ke-10 terkaya di Malaysia tahun ini.

Empayar perniagaan Syed Mokhtar telah dipelbagaikan meliputi penjanaan kuasa, beras, gula, bank, pelabuhan, perladangan dan pembuatan kereta melalui tiga syarikat utama – MMC, Tradewinds dan DRB-Hicom.

Pada tahun 2012, Syed Mokhtar membeli saham Proton daripada Khazanah melalui DRB-Hicom, dan kemudiannya menswastakan pengeluar kereta nasional itu.

[Baca berita asal]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here