Pemimpin mesti pulihkan imej di media sosial

0
87



Wakil PAS Terengganu mencadangkan pemimpin parti itu berusaha memulihkan imej masing-masing supaya dapat meyakinkan pengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kata Kamaruzzaman Abdullah, pendekatan itu perlu diambil bagi memulihkan imej mereka yang tercalar sebelum ini.

Antara langkah itu, katanya, ialah berhati-hati membuat sebarang kemas kini di media sosial atau aplikasi seperti WhatsApp.

“Terengganu mencadangkan supaya digembeling tenaga bagi membaik pulih imej yang sangat tercemar di media sosial.

“Adakah kursus kepada semua peringkat pimpinan, dari pusat hingga ke kawasan supaya apa yang dimuat naik di media sosial benar-benar mewakili jemaah kita,” katanya semasa membahas ucapan dasar presiden di Kompleks PAS di Kota Sarang Semut, Alor Setar hari ini.

Perbahasan itu diadakan pada hari kedua muktamar PAS kali ini.

Menurut Kamaruzzaman, jika berlaku kesilapan di media sosial pihak pimpinan sepatutnya memberi sokongan kepada anggota di bawahnya bagi mengelak wujud percanggahan berlaku.

Sementara itu dalam perbahasan itu juga PAS Terengganu menyatakan rancangan mereka meletak calon di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Kata Kamaruzzaman PAS juga akan bertanding di lapan kerusi parlimen.

Untuk membolehkan PAS memerintah Terengganu, katanya, parti itu hanya memerlukan peralihan undi antara satu hingga dua peratus saja berbanding PRU lalu.

Untuk rekod, daripada 32 kerusi DUN Terengganu, 15 daripadanya dikuasai pembangkang, termasuk satu oleh PKR – parti yang sebelum ini bekerjasama dengan PAS.

Muktamar kali ini pula akan membuat keputusan sama ada kerjasama itu akan diteruskan atau sebaliknya ditamatkan.

PAS pernah memerintah Terengganu pada 1999 namun ia cuma bertahan selama satu penggal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here