Peminat persoal watak Yaya dimatikan lebih awal

0
78


YAYA Zahir semakin dikenali menerusi lakonannya dalam drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati. – Foto Instagram Yaya Zahir

KUALA LUMPUR: Pelakon Hikayat Cinta Si Pematah Hati, Yaya Zahir, mengaku sudah jatuh cinta dengan dunia lakonan selepas drama 16 episod lakonan beliau itu meninggalkan impak tersendiri kepada dirinya.

Walaupun watak Valqis Aulia lakonannya dimatikan pada episod ke-12, kata Yaya, peminat masih merindui karakter terbabit.

“Sekalipun watak saya sudah berakhir, masih ada peminat mempersoalkan kenapa Valqis mati awal kerana kemalangan. Mereka nampaknya begitu sayang pada watak saya lakonkan. Saya amat hargai maklum balas sebegini daripada peminat,” katanya kepada BH Online.

Menurut wartawan penyiaran HLive yang juga bekas peserta pertandingan On Air musim kelima ini, beliau pernah berlakon dalam beberapa drama lain, namun Hikayat Cinta Si Pematah Hati adalah lakonan terbesar beliau sehingga kini.

“Minat saya pada lakonan semakin bercambah selepas menimba ilmu lakonan menerusi kelas yang diterajui Cikgu Fatimah Abu Bakar.

“Saya mendapat bimbingan dalam pelbagai bidang selepas menyertai On Air, termasuk selok-belok lakonan.

“Sebelum ini saya tidak nafikan memang minat berlakon, namun ia semakin dirasakan apabila berpeluang menggali ilmu lakonan dengan Cikgu Fatimah. Tak sangka saya berpeluang berlakon dengan Nabila Razali dan Alif Satar dalam Hikayat Cinta Si Pematah Hati,” katanya.

Selain komitmen sebagai wartawan penyiaran dan pelakon, Yaya turut menerbitkan program diberi nama Alternatif di Astro Ria, menerusi Thinker Studios.

“Pengurusan di HLive juga memudahkan saya untuk melakukan kerja lakonan. Mereka sangat bersikap terbuka dan apa yang perlu saya lakukan, hanya memaklumkan jadual lakonan saya lebih awal kepada pihak terbabit.

“Selepas drama ini, saya kini menumpukan kepada kerja sebagai wartawan penyiaran dan program Alternatif, rancangan yang memaparkan gaya hidup, fesyen, makanan dan seni,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here