Penalti lebur Harimau Selatan

0
48



Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) ditunjukkan jalan keluar oleh kelab Filipina Ceres Negros apabila tewas 1-2 pada separuh akhir kedua Piala AFC Zon Asia Tenggara di Stadium Bola Sepak Panaad, Bacolod City malam tadi.

Jaringan kemenangan menerusi penalti kontroversi masa kecederaan babak kedua oleh Fernando Rodriguez sudah cukup memberikan kelab Filipina itu tiket ke final Zon Asia Tenggara menerusi format gol di tempat lawan apabila agregat terikat 4-4.

Kemenangan 3-2 pada pertemuan pertama di Larkin pada 17 Mei lalu tidak menjanjikan laluan mudah Johor DT yang diberi tekanan sejak permainan bermula.

Walaupun pasukan pelawat kendalian Benjamin Mora berjaya menguji gawang Ceres menerusi sepakan percuma Safiq Rahim pada minit ke-7, ia seakan-akan hanya membangkitkan nafsu melawan pemain tuan rumah.

Selepas beberapa kali melancarkan serangan, akhirnya usaha anak buah Risto Vidakovic berhasil apabila Kota Kawase bijak menolak masuk sepakan percuma Kevin Ingreso pada minit ke-26.

Jaringan itu membolehkan Ceres mengikat agregat 3-3 dan cukup untuk membawa mereka ke pusingan seterusnya menerusi format gol di tempat lawan namun skuad Harimau Selatan tidak memberikan laluan selesa.

Selepas rembatan penyerang Ahmad Hazwan Bakri sedikit tersasar pada minit ke-65, pemain import dari Argentina Gabriel Guerra menerusi larian di sebelah kanan melepaskan rembatan leret yang menewaskan penjaga gol Ceres Roland Muller untuk gol penyamaan 1-1 dengan Johor DT sekali gus memiliki kelebihan agregat 4-3.

Pasukan tuan rumah seakan-akan tidak mahu mengalah dengan mengasak memburu gol tapi kegopohan OJ Porteria menyempurnakan hantaran lintang Ian Ramsay sekadar menyaksikan rembatannya melambung tinggi.

Impian Johor DT untuk meneruskan kempen memburu kejuaraan kedua selepas 2015 lebur apabila pengadil dari China Fu Ming mengesan kekasaran dilakukan Aidil Zafuan Abd Radzak untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah di hujung permainan.

Keadaan terus tegang apabila penjaga gol Farizal Marlias yang gagal menyelamatkan sepakan penalti Rodriguez dilayangkan kad merah kerana menolak pengadil perlawanan.

Kejayaan menyingkirkan Johor DT membolehkan Ceres mara ke final Zon Asia Tenggara bertemu Home United untuk mencari tiket ke separuh akhir antara zon.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here