Penampilan sulung Iniesta di Liga-J, Ahad ini

0
175
Advertisement



TOKYO: Andres Iniesta berpeluang membuat penampilan sulungnya di Liga-J minggu ini apabila kelabnya, Vissel Kobe menanti kunjungan Shonan Bellmare, kata bintang Sepanyol itu selepas tiba di Jepun, hari ini.

Pemain berusia 34 tahun itu menghabiskan 16 tahun bersama juara Sepanyol, Barcelona di mana dia memenangi sembilan gelaran La Liga, empat Liga Juara-Juara, enam Piala Raja Sepanyol sebelum menyertai Kobe, Mei lalu.

Pegawai rasmi Kobe berkata, Iniesta mungkin menyertai rakan sepasukan barunya di pusat latihan, Jumaat ini sebelum perlawanan pada Ahad, lapor agensi berita Kyodo.

“Ia perjalanan yang panjang tetapi saya cukup gembira untuk datang ke Jepun. Saya teruja untuk bermain bersama dengan rakan sepasukan saya di Vissel,” lapor Kyoto memetik kata-kata Iniesta selepas bintang itu tiba di Lapangan Terbang Kansai dan diraikan lebih 300 peminat.

“Saya mahu bermain secepat yang mungkin. Saya akan berada dalam keadaan terbaik pada Ahad, dan saya harap untuk menunjukkan kepada peminat permainan yang hebat.”

Iniesta akan bergandingan bersama bekas pemain antarabangsa Jerman, Lukas Podolski di Kobe dan akan menggunakan nombor jersi lapan yang digunakannya di Barca.

Dia akan cuba untuk membantu Kobe, yang ketika ini menghuni tangga keenam liga selepas 15 perlawanan memenangi kejuaraan Jepun pertamanya.

Pencapaian terbaik kelab itu adalah di tangga ketujuh pada 2016.

Iniesta yang menjaringkan gol kemenangan di final Piala Dunia 2010 mengumumkan persaraannya dari pentas antarabangsa selepas Sepanyol tewas mengejut kepada tuan rumah, Russia di Piala Dunia, awal bulan ini. – Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here