Penang Port peruntuk RM180 juta untuk pengembangan kapasiti

0
338
Advertisement

GEORGE TOWN: Penang Port Sdn Bhd (PPSB) yang 49 peratus milik MMC Port Holdings Sdn Bhd memperuntukkan RM180 juta untuk perbelanjaan modal (capex) tahun ini berbanding RM40 juta pada 2017, terutama bagi memperluaskan segmen perniagaan kontenanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Sasedharan Vasudevan berkata, PPSB merancang untuk membeli dua lagi kren gantri jeti, yang juga dikenali sebagai kren kapal ke pantai, untuk meningkatkan kapasiti pengendalian kontena bagi menampung permintaan masa depan.

“Selaras dengan pengembangan itu, kami menyasar untuk meningkatkan kapasiti pengendalian tahunan Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) kepada 2.8 juta hingga 2.9 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) berbanding dua juta TEU ketika ini.

“Kerja telah bermula dan ia akan mengambil masa kira-kira 18 hingga 20 bulan untuk disiapkan,” katanya semasa lawatan media baru-baru ini ke Penang Port yang dianjurkan oleh syarikat induk MMC Port Holdings, MMC Corporation Bhd.

Sasedharan berkata, pengendalian kontena adalah operasi teras PPSB, dengan NBCT menjadi tumpuan untuknya. Segmen kontena menghasilkan hampir 68 peratus daripada perniagaan PPSB, dengan 38 peratus berasal dari selatan Thailand.

“Kami mengendalikan truput kontena sebanyak 1.523 juta TEU tahun lepas, hampir dengan kapasiti pelabuhan semasa.

“Berasaskan tahun ke tahun, truput kontena biasanya meningkat kira-kira enam peratus, kecuali pada tahun sebelumnya (2016) apabila ia meningkat hampir 10 peratus,” katanya.

Sasedharan berkata, antara operasi pelabuhan MMC, PPSB mencatatkan pertumbuhan terbaik dalam truput kontena tahun lepas dan ia berhasrat mengekalkan pencapaian tersebut tahun ini.

“Untuk tahun ini, kami menyasarkan untuk mencatat 1.6 juta TEU atau pertumbuhan lima peratus berbanding 2017,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here