Pencuri 'borong' kerepek

0
52



Banting: Ketika umat Islam masih meraikan Aidilfitri, penjenayah menggunakan kesempatan itu untuk memecah masuk dua kedai di daerah ini dalam tempoh 24 jam.

Kejadian secara berasingan awal pagi kelmarin dan semalam itu membabitkan sebuah kedai menjual kerepek serta kedai serbaneka.

Lebih mengejutkan apabila ia bukan saja menyebabkan kerugian ribuan ringgit, malah penjenayah itu turut melarikan tabung anak yatim dan 60 bungkusan kerepek.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan pintu masuk kedai serbaneka di Pusat Perdagangan Banting, di sini, dirosakkan dan semua barangan berselerak selain laci wang serta laci pekerja turut diselongkar, kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

“Barangan yang dilarikan termasuk tiga unit pemutar kek dan jumlah kerugian dianggarkan RM3,500. Kejadian itu kali pertama berlaku dan kedai berkenaan tidak mempunyai pengawal keselamatan.

“Suspek dipercayai memecah masuk menerusi bahagian tepi kedai dan satu kesan cap jari berjaya diperoleh untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Azizan berkata, sebuah kedai kerepek di Kanchong Darat, di sini, kerugian RM7,000 akibat dipecah masuk penjenayah, kelmarin.

Menurutnya, dalam kejadian jam 6.45 pagi, terdapat kesan umpil pada pintu depan sebelum melihat keadaan kedai berselerak dengan kerepek turut bertaburan di lantai.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua mesin juruwang, satu tabung anak yatim dan 60 bungkus kerepek lesap,” katanya memaklumkan kejadian itu kali pertama berlaku sejak 30 tahun kedai berkenaan beroperasi.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan, dan kedua-dua kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here