Pendam rindu

0
156
Advertisement



Kota Kinabalu: “Saya tidak pernah berhenti berdoa suami akan muncul.

“Malah gaji pertama bulan lalu, saya membeli baju raya berwarna ‘maroon’ (merah hati) untuk kami berdua,” kata Amelia Samanail, 21, isteri kepada Abhsoy Kasim, 26, kru bot katamaran yang masih hilang selepas bot berkenaan karam di perairan Pulau Mengalum, dekat sini, 28 Januari lalu.

Amelia yang kini bekerja di sebuah kedai baju di bandar raya ini berkata, walaupun pernah beraya bersama-sama beberapa kali sebagai kawan, kekasih dan tunang sejak 2013, dia dan Abhsoy belum berkesempatan meraikan Aidilfitri sebagai suami isteri kerana mereka baru mendirikan rumah tangga hujung tahun lalu.

“Untuk tahun ini, kami merancang raya kali pertama sebagai suami isteri di rumah keluarga saya di Pulau Gaya.

“Selepas mendirikan rumah tangga akhir tahun lalu, saya sempat bertanya suami tema baju raya. Suami memberitahu tidak perlu tema baju raya kerana dia yakin saya akan mengandung.

“Namun, saya memberitahunya kalau pun mengandung, tiada masalah buat baju raya bersama.

“Suami memilih warna ‘maroon’ untuk tema baju raya tahun ini, tetapi malang suami saya masih hilang.

“Tetapi saya tetap menunaikan impian kami apabila membeli baju raya sedondon berwarna ‘maroon’ selepas menerima gaji pertama,” katanya.

Menurutnya, apabila berasa rindu kepada suaminya, dia pergi ke tebing di belakang Kompleks Beli-Belah Suria Sabah sambil membawa telefon bimbitnya yang mengandungi gambar Abhsoy.

“Saya yakin suami masih hidup dan pernah bermimpi suami balik ke rumah. Dalam mimpi itu, saya sedang tidur dan menyedari suami ada di belakang saya.

“Saya berharap dan berdoa mimpi itu benar. Bila dan di mana (pertemuan semula kami), saya serahkan pada Allah SWT,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Katanya, dia kini bekerja untuk menampung keperluan seharian selain menghilangkan rasa sedih memikirkan keadaan dihadapinya.

“Saya sedih apabila teringat suami dan sehingga kini saya yakin suami masih hidup,” katanya.

Sementara itu, rakan baiknya, Suefiona Satar, 24, berkata, sejak bekerja di kedai menjual baju, boleh dikatakan setiap hari dia melihat Amelia menitiskan air mata.

“Lebih-lebih lagi jika dia bersendirian. Saya menenangkan Amelia kerana khuatir perkara itu mengganggu kesihatannya.

“Saya juga sering menasihati Amelia supaya tabah dengan apa yang berlaku dan meminta dia banyakkan berdoa supaya semuanya dipermudahkan-Nya,” katanya.

Dalam kejadian 28 Januari lalu, bot dinaiki 31 orang termasuk 28 pelancong China karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Seramai 22 orang selamat dan empat meninggal dunia manakala lima lagi termasuk Abhsoy masih hilang.

Pada 2 Jun lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menamatkan operasi mencari dan menyelamat lima mangsa yang hilang susulan tiada sebarang petunjuk baharu selepas pencarian memakan masa 126 hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here