Pendekatan diplomatik tunjang penyelesaian isu penambakan tanah di Laut China Selatan

0
64
Advertisement

SINGAPURA: Isu penambakan tanah dan peningkatan aktiviti di Laut China Selatan boleh menjejaskan kepercayaan dan keyakinan di kalangan negara di rantau Asia Tenggara, kata Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan.

Menurutnya, beberapa menteri luar ASEAN menyatakan kebimbangan mengenai isu berkenaan ketika berlangsungnya Pemukiman Menteri Luar ASEAN di republik itu pada Selasa. 

Pada masa sama, katanya yang mempengerusikan pemukiman, wujud juga kekhuatiran akan ada peningkatan ketegangan yang boleh menjejaskan kestabilan dan keamanan di rantau tersebut.

“Kami menegaskan bahawa perlunya kepercayaan dan keyakinan secara kolektif ditingkatkan, termasuklah kawalan diri dalam membuat keputusan dan mengelak daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh merumitkan keadaan.

“Setiap pihak perlu untuk meneruskan penyelesaian secara diplomatik terhadap semua pertikaian selaras dengan undang-undang antarabangsa,” kata beliau menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di akhir pemukiman pada Selasa.

Pemukiman berkenaan dihadiri semua Menteri Luar ASEAN. Malaysia diwakili Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Kenyataan tersebut merujuk kepada isu penambakan tanah dan pembinaan pulau buatan di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan.

Selain China, Filipina, Malaysia, Vietnam, dan Brunei turut menyatakan tuntutan di kawasan berkenaan.

Antara tuntutan Malaysia ialah Pulau Kecil Amboyna (Amboyna Cay), Terumbu Laksamana (Commodore Reef), dan Pulau Layang-Layang (Swallow Reef).

Kenyataan itu dibuat ketika semua 10 anggota ASEAN dan China telah bersedia untuk memulakan rundingan bulan depan berhubung kod tatalaku yang akan digunapakai dalam menguruskan ketegangan di kawasan perairan yang menjadi pertikaian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here