Pendidikan perniagaan perlu relevan dengan persekitaran baharu – Zeti

0
20

KUALA LUMPUR: Pendidikan perniagaan perlu mempersiapkan barisan pemimpin yang mampu memahami perkembangan dalam persekitaran serta implikasinya terhadap sistem ekonomi dan kewangan.

Ketika menekankan kepentingan itu, mantan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata ini penting berikutan keadaan persekitaran yang telah menjadi kompleks serta sukar ditentukan.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk memahami risiko berkaitan sebagai persiapan menghadapi masa depan.

“Ada isu-isu penting yang perlu diperakui kepentingannya berikutan keadaan dunia yang kesalinghubungan. Kita juga perlu melihat bagaimana kita dapat saling berhubungan,” katanya ketika berucap menutup Forum Nikkei Asian Review bertajuk ‘Kepentingan Pendidikan Perniagaan’ di sini, pada Khamis.

Mengulas selanjutnya, Zeti turut menekankan kepentingan memahami alasan serta mengenal pasti peluang dalam dunia yang serba berubah.

“Perubahan itu boleh berlaku secara mendadak dengan kesan yang buruk atau ia sebaliknya mengundang peluang atau kesempatan.

“Antara perubahan itu termasuk pendigitalan dan keselamatan siber yang menjadi antara isu utama,” katanya.

Menurutnya, BNM juga telah terbukti mencatat pencapaian dari segi pelaburannya dalam masyarakat serta pendidikan.

Bank pusat itu juga, kata Zeti, amat instrumental dalam pembangunan modal insan serta memperkasakan wanita yang layak berdasarkan merit.

Malah, katanya, sewaktu beliau melepaskan tanggungjawab sebagai Gabenor bank pusat itu, kira-kira 38 peratus jawatan di peringkat pengurusan kanan itu digalas oleh kelompok wanita yang berdaya tinggi.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here