Pendigitalan, penguatkuasaan jadi isu utama perlu ditangani akauntan – MIA

0
190
Advertisement

KUALA LUMPUR: Institut Akauntan Malaysia (MIA) mengenal pasti pendigitalan dan penguatkuasaan merupakan dua isu utama yang perlu ditangani dalam usaha meningkatkan keberkesanan, kerelevanan dan kemampanan profesion itu.

Presiden, Salihin Abang berkata MIA turut mendapati perakaunan semakin berasaskan awan dan dijana oleh data raya, dan prosesnya menjadi lebih cekap dan mudah alih.

“Hasilnya, akauntan mengalami anjakan paradigma dalam peranan dan cara kita melaksanakan sesuatu,” katanya semasa makan malam gala sempena ulang tahun MIA kali ke-50 di sini, pada Sabtu.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Salihin berkata, cabaran seterusnya yang dihadapi profesion itu adalah dalam bentuk kodifikasi dan keperluan pengetahuan profesional, automasi proses dan metodologi serta kecenderungan ke arah bergantung penuh kepada kepintaran buatan.

Semua peralihan itu akan memacu peningkatan permintaan bagi akauntan yang memiliki kecekapan teknologi serta berfikiran kritikal serta berkemahiran tafsiran data.

“Kami juga telah menubuhkan Pasukan Ekonomi Digital untuk mengkaji kesan teknologi ke atas profesion perakaunan di Malaysia, dan kami menyediakan Pelan Tindakan Ekonomi Digital MIA untuk merancang strategi digital dan panduan pelaksanaan usaha digital.

“Inisiatif ini akan menggantikan Sistem Maklumat Keanggotaan MIA dan mendigitalkan bahan latihan untuk meningkatkan kewibawaan dan kepuasan anggota kami,” katanya.

Bagi aspek penguatkuasaan, Salihin berkata, langkah utama adalah melantik ketua baharu bagi jawatan yang baru diperkenalkan iaitu Pengarah Eksekutif Pemantauan dan Penguatkuasaan.

Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan MIA sedang melaksanakan perubahan untuk mempercepatkan prosedur siasatan dan tatatertib – seperti Semakan Amalan – dalam lingkungan skop semasa Akta Akauntan 1967

“Selain itu kami bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk menangani masalah akauntan palsu. Pencapaian lain termasuk penyiapan semakan dan amalan prosedur operasi standard yang telah dipertingkatkan dengan penanda aras ISO bagi pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya.

MIA bermula dengan 1,619 anggota akauntan bertauliah Malaysia pada 1980 dan kini mempunyai 34,000 akauntan yang mendaftar dengan institusi itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here