Penduduk Israel berhimpun sokong Palestin

0
47


TEL AVIV: Ribuan rakyat Israel berhimpun di sini sebagai sokongan penubuhan sebuah negara Palestin sebelum ulang tahun ke-50 pencerobohan Israel di tanah Palestin.

Kain rentang memaparkan slogan ‘Dua Negara, Satu Harapan’ dipaparkan dalam demonstrasi anjuran penyokong negara Palestin termasuk badan bukan kerajaan (NGO) Israel, Peace Now.

Ketua Peace Now, Avi Buskila, berkata perhimpunan itu adalah satu bantahan terhadap ‘ketiadaan harapan ditawarkan kerajaan yang terus mengekalkan dasar pencerobohan, keganasan dan perkauman.’

“Masanya sudah tiba untuk membuktikan kepada Israel, Palestin dan seluruh dunia bahawa satu segmen penting penduduk Israel menentang pencerobohan dan mahu penyelesaian dua negara,” tambahnya.

Satu mesej sokongan daripada Presiden Palestin Mahmud Abbas dibacakan dalam perhimpunan itu.

“Ini adalah masanya untuk hidup bersama dalam harmoni, selamat dan stabil. Tugas kami terhadap generasi akan datang adalah untuk mencapai persetujuan terhadap perdamaian,” Abbas dipetik sebagai berkata.

Pemimpin parti pembangkang Buruh Israel, Isaac Herzog menghadiri perhimpunan itu dan menyatakan sokongan di sebalik penyelesaian dua negara dalam konflik Palestin-Israel.

Pada 1967, Israel merampas Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis dari Jordan ketika Perang Enam Hari dengan negara jirannya itu. Israel mendakwa Baitulmaqdis sebagai ibu kota bersatunya sementara Palestin mendakwa bahagian timur bandar itu sebagai ibu kota akan datangnya.

Lebih 400,000 penduduk Israel tinggal di penempatan Tebing Barat yang dianggap tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa dan menjadi halangan terbesar terhadap perdamaian Asia Barat. -AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here