Penentu ke Gold Coast

0
71



Kuala Lumpur: Bukan sekadar kejohanan biasa tetapi penentu ke Gold Coast, jelas Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria kepada pemain negara yang akan mengambil bahagian pada Kejohanan Badminton Asia di Wuhan.

Menurutnya, siapa yang memberikan aksi terbaik kemungkinan besar akan disenaraikan dalam skuad negara untuk menyertai saingan Piala Sudirman tidak kira sama ada pemain itu dari BAM atau sebaliknya.

“Saya harap mereka mampu memberikan persembahan terbaik di Wuhan, kerana ia medan untuk memilih pemain ke Gold Coast,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, tumpuan kali ini tidak terarah kepada Datuk Lee Chong Wei saja, malah semua bahagian termasuk beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran.

“Jadi saya mahu semua pemain yang menyertai kejohanan ini tidak melepaskan peluang dan memberikan aksi terbaik, supaya mereka tersenarai dalam skuad Piala Sudirman. Apa yang saya maksudkan semua pemain di setiap acara,” katanya yang juga pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM.

Selain Chong Wei yang akan memulakan aksi di pusingan pertama menentang Kazumasa Sakai dari Jepun, dua lagi perseorangan lelaki disertai oleh pemain profesional, Chong Wei Feng dan Zulfadli Zulkiffli.

Sementara itu, tiga pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, Lee Ying Ying (gambar) dan Ho Yen Mei perlu melalui peringkat kelayakan terlebih dulu, manakala Goh Jin Wei memulakan aksi pusingan pertama berdepan Akane Yamaguchi dari Jepun.

Beregu lelaki menampilkan gandingan utama, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, manakala Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani perlu memberikan aksi mantap jika mahu nama mereka tersenarai dalam skuad Piala Sudirman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here