Peng Soon-Liu Ying fokus persembahan terbaik

0
355
Advertisement



KUALA LUMPUR: Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon menimang cahaya mata ketiganya hari ini dan gandingannya, Goh Liu Ying mengimpikan untuk menambah keceriaan itu dengan memberikan persembahan terbaik di Kejohanan Dunia di Nanjing China (30 Julai – 5 Ogos).

Peng Soon dan isterinya, Esther May May menyambut cahaya mata ketiga mereka, Julian Chan, selepas minggu lalu Peng Soon-Liu Ying mara ke perlawanan akhir Terbuka Indonesia di Jakarta sekali gus membolehkan mereka layak pada saat akhir ke Kejohanan Dunia.

Gandingan negara itu tidak menyangka aksi memberangsangkan di Jakarta membolehkan mereka melonjak ke tangga kelapan dunia dan mendapat bye di pusingan pertama Kejohanan Dunia.

Bekas pasangan nombor tiga dunia itu tidak pernah mara dalam kelompok 16 terbaik namun berdasarkan prestasi semasa, mereka percaya mampu mara lebih jauh.

“Pada mulanya kami hanya mahu melayakkan diri dan hanya melakukannya pada saat akhir. Selepas aksi terbaik di Terbuka Indonesia, kami bukan saja layak namun diberikan peluang untuk berada sebagai pilihan kelapan. Bagi saya ia sesuatu yang positif.

“Selepas melihat undian, kami percaya mempunyai peluang dan saya bersama Peng Soon akan melaluinya peringkat demi peringkat terlebih dulu,” kata Liu Ying.

Ditanya mengenai Peng Soon yang menimang cahaya mata ketiga, Liu Ying mengakui dia turut berasa gembira.

“Dia memberitahu saya semalam bahawa isterinya akan melahirkan anak pada bila-bila masa saja. Dia memang seorang yang sentiasa rapat dengan keluarganya. Ada masanya anda akan dapat lihat dia sangat merindui keluarganya apabila menyertai mana-mana kejohanan.

“Sekurang-kurangnya, dia pasti lega dan tenang untuk bermain di Kejohanan Dunia,” kata Liu Ying.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan berdepan halangan sukar pada pusingan ketiga apabila dijangka berdepan pilihan ke-11 dari England, Marcus Ellis-Lauren Smith.

“Saya tidak mahu berfikir terlalu ke depan, jadi harapan kami cuba untuk mara ke suku akhir terlebih dulu.

“Kami berkemungkinan akan menentang pasangan Hong Kong (Tang Chun Man-Tse Ying Suet) di suku akhir dan kami pernah tumpas di tangan mereka sebelum ini. Biar kami fokus satu demi satu perlawanan terlebih dulu,” kata Liu Ying.

Satu lagi gandingan beregu campuran negara ialah Goh Soon Huat-Shevon Lai yang turut mendapat bye di pusingan pertama manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula akan menentang Liao Min Chun-Chen Hsiao Huan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here