Pengadil lebih lama belajar

0
32



Kuala Lumpur: Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menganggap tindakan jurulatih Pahang, Dollah Salleh membidas mutu pengadilan perlawanan Liga Super menentang FELDA United Sabtu lalu sebagai ‘tidak kena tempat.’

Katanya, Dollah seharusnya menggunakan platform yang betul untuk menyuarakan rasa tidak puas hati atau sebarang bantahan terhadap keputusan pengadil perlawanan kerana beliau bimbang luahan sebegitu akan membakar api kebencian penyokong terhadap pengadil.

“Nasihat saya kepada Dollah, luahan untuk memperbaiki mutu pengadilan itu bagus tapi tak kena tempat. Bila ia diluahkan seperti dilakukan sekarang, ia bukan memberikan yang positif tapi akan menarik minat penyokong tegar untuk membenci pengadil yang belum tentu betul seperti yang beliau katakan.

“Sebelum ini, saya ada nasihat kepada pegawai termasuk pemain serta jurulatih yang terbabit dalam Liga Malaysia (Liga-M) dan kita memiliki saluran yang khusus untuk mereka membuat laporan.

“Saya tidak pasti berapa lama Dollah belajar ‘Law of the Game’ (undang-undang perlawanan) dan mungkin ada beberapa percanggahan berlaku tapi pengadil lebih lama belajar.

“Jadi, saya harap biarlah kita saling menghormati dan nasihat saya kepada Dollah, gunakanlah saluran yang betul,” katanya.

Arena Metro semalam melaporkan kekecewaan Dollah dengan mutu pengadilan yang didakwanya sebagai berat sebelah hingga menyaksikan anak buahnya tewas 1-2 kepada FELDA United menerusi gol kemenangan sepakan penalti di hujung perlawanan.

Pengendali skuad Tok Gajah itu menyatakan beliau sudah tidak boleh berdiam diri lagi kerana sudah banyak kali menjadi mangsa keadaan dan yang terbaru membabitkan keputusan pengadil Mohammad Zamzaidi Katimin.

Sebaliknya Subkhiddin memuji tindakan Melaka United yang membuat bantahan rasmi terhadap pengadil dengan mengemukakan klip video berhubung kad merah Jasmin Mecinovic ketika seri 1-1 dengan Selangor PKNS, Sabtu lalu.

“Mereka menjelaskan kesalahan itu secara berfakta dan memberikan klip video menunjukkan situasi yang berlaku. Kami berpuas hati dengan laporan itu dan memohon maaf serta berterima kasih kepada Melaka United,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here