'Pengalaman jelas jadi pemisah' – Nazliazmi

0
43
Advertisement



 

ADAKAH Nazliazmi Nasir ‘memperjudikan’ nasib pasukannya apabila menurunkan beberapa pemain muda kurang berpengalaman bagi menghadapi cabaran Pahang pada aksi final Piala FA malam tadi?

Percaturan berani Nazliazmi menyaksikan dia menurunkan empat pemain muda dan hanya tiga pemain import dalam kesebelasan utama dengan Evan Dimas serta dua pemain senior, Azamuddin Akil dan Joseph Kalang Tie hanya diletakkan pada bangku simpanan.

Keputusan Nazliazmi yang membawa masuk tiga pemain terbabit pada babak kedua nyata mengubah sedikit corak permainan The Red Giants apabila berjaya mengasak Pahang di hujung permainan namun sukar untuk mereka bangkit memandangkan sudah ketinggalan dengan dua gol.

Bagaimanapun, Nazliazmi mempertahankan pemilihan pemain dilakukan untuk aksi penting itu kerana ingin mengekalkan kesebelasan utama sama seperti pada dua aksi separuh akhir bertemu PKNS FC sebelum ini.

“Saya kekalkan barisan pemain sama kerana saya tidak boleh membuat perubahan begitu drastik untuk aksi final malam ini (malam tadi).

“Saya meletakkan sepenuh keyakinan pada pemain muda dan mereka turut dibantu pemain senior yang lain di atas padang seperti Razman Roslan dan Amri Yahyah yang menunjukkan aksi yang begitu baik.

“Memang ada pemain muda gugup namun mereka bangkit memperaga aksi lebih baik pada separuh masa kedua tetapi apa yang boleh saya katakan adalah pengalaman jelas menjadi pemisah untuk pasukan Selangor,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Terdahulu, impian pasukan itu untuk menempah tiket ke pusingan kelayakan Liga Juara Juara Asia (ACL) musim depan lebur selepas dijinakkan Pahang 2-0 pada pentas akhir itu.

Ini sekali gus menyaksikan mereka meneruskan kemarau sembilan tahun untuk merangkul trofi berprestij itu sejak kali terakhir memenanginya pada 2009 dengan menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

Mengulas lanjut aksi malam tadi, Nazliazmi menjelaskan anak buahnya cuba untuk menekan lawan secara agresif namun kelemahan ketika melakukan transisi menyebabkan mereka bergelut pada aksi terbabit.

“Taktikal kita menekan lawan supaya mereka melakukan kesilapan tidak begitu efektif kerana barisan pertahanan Pahang memiliki pengalaman untuk mengawal keadaan dengan baik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here