Pengarah sahkan 1MDB tidak mampu bayar hutangnya – Lim Guan Eng

0
354
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mengesahkan syarikat itu tidak mampu membayar hutangnya, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir, telah memaklumkan secara bertulis kepada Kementerian Kewangan pada Mac dengan mengatakan 1MDB tidak dapat membayar faedah yang bertarikh akhir April dan Mei 2018.

Guan Eng berkata beliau telah mengarahkan kementerian melantik PricewaterhouseCoopers (PwC) bagi melaksanakan audit khas dan penilaian semula 1MDB.

“Selepas itu kami akan dapat menentukan kos penipuan kepada pembayar cukai. Kami akan menyerahkan laporan PwC kepada Jawatankuasa 1MDB yang ditubuhkan oleh perdana menteri sebaik sahaja ia siap,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Lim mengadakan dua mesyuarat berasingan dengan Pengarah 1MDB, Datuk Norazman Ayob dan Datuk Kamal Mohd Ali, serta Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy, yang diiringi Azmi dan bekas peguam 1MDB, Ivan Chen.

Semalam, Lim memaklumkan 1MDB perlu membayar RM143.75 juta kepada pemberi pinjamannya sebelum 30 Mei.

Beliau berkata, pelaburan terbabit bernilai kira-kira RM9.8 bilion, yang jika ditebus, akan menjadi lebih daripada mencukupi untuk memenuhi obligasi kewangan 1MDB untuk beberapa tahun akan datang.

Bagaimanapun, beliau berkata, lembaga pengarah, yang akan membekalkan kementerian itu dengan minit mesyuarat lembaga 1MDB, mendakwa mereka telah berulang kali mempertikai nilai tersebut dan juga kewujudan pelaburan berkenaan semasa mesyuarat bulanan lembaga.

“Ini kerana pengurusan 1MDB berulang kali gagal membekalkan lembaga itu dengan apa-apa bukti mengenai kewujudan pelaburan tersebut dalam tempoh dua tahun yang lalu,” katanya.

Guan Eng juga mendedahkan yang Kamal telah menganggap pelaburan 1MDB ini sebagai “satu penipuan”.

Secara berasingan, Guan Eng berkata, Azmi telah memberitahu bahawa “pelaburan” itu masih wujud walaupun BSI Bank telah ditutup.

“Dia memberikan alasan yang tidak boleh dipercayai bahawa pengurus dana enggan berkomunikasi dengan 1MDB secara bertulis kerana siasatan sedang dijalankan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat,” katanya.

Guan Eng berkata, Arul Kanda sebaliknya mendakwa bahawa semua urusan kewangan telah ditangani dengan tegas oleh Azmi, dan dia benar-benar tidak pasti mengenai nilai “pelaburan” itu, atau sama ada ia wujud.

Menurut Guan Eng, beliau mendapati Arul Kanda amat tidak jujur dan tidak boleh dipercayai dan mengarahkan penasihat undang-undang Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula jawatannya sebagai Presiden 1MDB.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here