Penggunaan lorong kecemasan berkurangan 96.61 peratus

0
187
Advertisement



Seremban: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan merekodkan pengurangan kes menggunakan lorong kecemasan sebanyak 96.61 peratus berbanding tahun lalu sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2017 yang berakhir kelmarin.

Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, sepanjang Op HRA 2017 bermula 18 Jun hingga 2 Julai itu, pihaknya hanya merekodkan dua kesalahan menggunakan lorong kecemasan berbanding tahun lalu, sebanyak 59 kes.

Menurutnya, antara sebab utama kejayaan itu adalah hasil rondaan
di sepanjang lebuh raya secara kerap termasuk menggunakan Unit Peronda Bermotor (UPB) JPJ selain penguatkuasaan lebih ketat.

“Sebelum ini, kita melakukan Operasi Statik, tetapi tahun ini anggota menjalankan rondaan secara kerap menyebabkan pemandu lebih berhati-hati dan berhemah bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Selain itu, JPJ turut membuka bilik kawalan 24 jam untuk menerima aduan daripada pengguna jalan raya dan melakukan pemantauan sepanjang operasi,” katanya dalam sidang media pada Op HRA 2017 di Jalan Dato Muda Linggi, di sini, malam kelmarin.

Katanya, kaedah yang digunakan itu memberi kesan positif kerana pemandu lebih mematuhi peraturan jalan raya sepanjang perjalanan pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Dalam pada itu, Azrin berkata, sepanjang HRA 2017 pihaknya mencatatkan penurunan kemalangan sebanyak 876 kes berbanding tahun lalu.

Katanya, sebanyak 2,789 kenderaan diperiksa dengan merekodkan 2,707 kesalahan tahun lalu berbanding 2,759 kenderaan diperiksa dengan 1,831 kesalahan direkodkan, tahun ini.

“Antara kesalahan yang dilakukan ialah mengubahsuai kenderaan, tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh. Pemeriksaan itu dilakukan di lebuh raya dan jalan negeri terutama kawasan yang kerap berlaku kemalangan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here