Pengurus kopitiam bantu tumpaskan 'Geng Muniandy Kopitiam'

0
68



SHAH ALAM : Tindakan pantas dan berani seorang pengurus restoran kopitiam di Seksyen 15 di sini, membawa kepada penahanan tiga anggota kumpulan pecah masuk restoran dikenali sebagai ‘Geng Muniandy Kopitiam’ di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, pengurus restoran berkenaan, Ahmad Faizalli Mohamad Abdullah Sani, 30, ternampak seorang lelaki dalam kedaan mencurigakan di hadapan restoran dan setelah diperiksa beliau mendapati terdapat kesan umpil pada pintu restoran itu yang berada dalam keadaan terbuka.

Ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini, Ahmad Faizalli berkata beliau seterusnya ternampak lelaki berkenaan keluar dari restoran dan bertindak mengejar suspek sebelum kemudian terserempak dengan pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) yang sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan lalu meminta bantuan mereka.

“Ketika itu saya tidak fikirkan hal lain kecuali ingin menangkap lelaki terbabit dan akhirnya lelaki itu berjaya saya tangkap dengan bantuan anggota MPV berkenaan,” katanya yang telah bertugas di restoran kopitiam itu selama setahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata suspek telah ditahan bersama beberapa peralatan pecah rumah, tidak jauh dari lokasi restoran kopitiam berkenaan.

Beliau berkata siasatan seterusnya mendapati terdapat dua lagi rakan suspek menunggu di luar premis berkenaan menaiki sebuah van dan ketika anggota MPV sedang membuat tangkapan ke atas suspek pertama, van rakan suspek telah lalu berhampiran MPV berkenaan.

“Anggota MPV terbabit mendapatkan bantuan daripada pasukan MPV lain yang bertindak mengejar van berkenaan tetapi suspek bertindak memecut laju sehingga membahayakan pengguna jalan raya apabila memandu melawan arus dari Bulatan Perusahaan di Seksyen 16 menghala ke Persiaran Raja Muda di Seksyen 17 di sini.

“Dengan bantuan pasukan MPV dan pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berdekatan, van berkenaan berjaya dipintas di Jalan Sungai Rasah di Seksyen 16 dan kedua-dua suspek yang menaiki van itu akhirnya berjaya diberkas,” katanya dalam sidang media.

Menurut Shafien, siasatan mendapati van itu telah dicuri di kawasan Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada 24 Mei lepas dan siasatan seterusnya mendapati ketiga-tiga suspek menjadi buruan polis sejak tiga bulan lepas.

Tambah beliau, kesemua suspek pernah ditangkap bagi kes pecah rumah dan penahanan ketiga-tiga lelaki terbabit berjaya menyelesaikan lima kes pecah masuk restoran kopitiam di sekitar daerah ini.

“Terima kasih kepada pengurus restoran berkenaan serta kepantasan 16 anggota MPV dan URB sehingga berjaya mengelakkan berlakunya kejadian pecah masuk bangunan. Polis sedang menjejaki saki baki anggota geng terbabit dan sedang berusaha mendapatkan semula barangan yang telah dicuri,” katanya.

Ketiga-tiga suspek warga tempatan dan berusia 20-an itu kini diremanlima hari bermula hari ini bagi siasatan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here