Pentadbiran Amerika Syarikat ditutup selepas Senat gagal capai kata sepakat

0
19
Advertisement

WASHINGTON: Pentadbiran Amerika Syarikat memulakan penutupan pentadbiran persekutuan selepas Majlis Senat gagal mencapai kata sepakat mengenai bajet terbaharu negara itu.

Pihak Republikan dan Demokrat masih tiada kata putus berhubung beberapa perkara sehingga tempoh tamat pada tengah malam semalam waktu tempatan.

Walaupun beberapa sesi berlangsung, namun Rang Undang-Undang bagi menampung Kerajaan hingga 16 Februari tidak mendapat undian 60 peratus seperti yang diperlukan.

Ini kali pertama kerajaan Amerika Syarikat digantung semasa parti yang sama berkuasa dalam kedua-dua Kongres dan White House.

Kali terakhir pentadbiran Amerika Syarikat ditutup adalah pada 2013 yang berlangsung selama 16 hari di mana beberapa pegawai kerajaan diarah bercuti.

Dewan Perwakilan membuang undi 230-197 pada Khamis malam bagi mengekalkan pendanaan persekutuan sehingga bulan depan, namun ia gagal melepasi Majlis Senat dengan undian 50-48.

Empat ahli Republikan menentang Rang Undang-undang tersebut manakala lima ahli Demokrat menyokong.

Pejabat kerajaan akan ditutup jika Kongres tidak dapat menyediakan dana untuk mereka beroperasi seperti yang diperlukan di bawah undang-undang persekutuan.

Namun perkhidmatan asas dalam negara masih terus beroperasi.

Ini termasuk keselamatan dalam negeri, perkhidmatan pos, kawalan trafik udara, perkhidmatan kesihatan bagi pesakit wad, ubat-ubatan pagi pesakit luar yang memerlukan perkhidmatan kecemasan, bantuan bencana, penjara, percukaian dan penjanaan elektrik.

Taman negara dan kawasan tugu peringatan berdepan kemungkinan ditutup.

Beberapa jam sebelum undian tersebut, Presiden Donald Trump memuat naik status di laman Twitter miliknya dengan menyatakan situasi semasa tidak baik untuk Angkatan Tentera serta pasukan keselamatan di sempadan selatan negara itu.

Beliau turut menjemput Ketua Ahli Senat Demokrat, Chuck Schumer ke White House bagi membincang perkara itu namun ia menemui jalan buntu.

Sejam selepas itu, Schumer memberitahu petugas media pertemuannya dengan Trump menunjukkan perkembangan positif bagaimanapun masih wujud beberapa perkara yang gagal dipersetujui kedua-dua pihak.

Ini termasuk berlainan pendapat mengenai rancangan Demokrat untuk melanjutkan tempoh perbincangan selama lima hari lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here