Penumpang cuba buka pintu pesawat didakwa

0
11


SEATTLE: Seorang penumpang Delta Air Lines didakwa kerana cuba membuka pintu pesawat ketika berada di udara hingga memaksa anak kapal dan beberapa penumpang bergelut untuk menghentikan tindakannya.

Joseph Daniel Hudek IV, 23, dari Tampa, Florida ditahan kelmarin ketika pesawat Boeing 767-300 yang membawa 221 penumpang dalam penerbangan dari Seattle ke China.

Tindakan Hudek memaksa pesawat itu berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma dan melakukan pendaratan tidak berjadual selepas dua jam berlepas.

Hasil siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendapati berlaku pergaduhan dalam penerbangan membabitkan seorang penumpang kelas pertama hingga memaksa pesawat itu berpatah balik dan penumpang terbabit didakwa.

Menurut FBI, insiden itu bermula ketika Hudek melangkah ke pintu depan pesawat dan bertindak memegang pemegang pintu pesawat lalu cuba membukanya.

Tindakannya menyebabkan berlaku pergelutan dengan anak kapal dan beberapa penumpang turut membantu untuk menghentikan tindakannya.

Hudek dikatakan berulang kali menumbuk seorang anak kapal dan penumpang lain sambil terus berusaha membuka pintu pesawat. Tindakannya berjaya dihentikan apabila beberapa penumpang ikut campur dengan mengikatnya. – Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here