Penunjuk perasaan desak PM Singapura disiasat

0
33


SINGAPURA: Kira-kira 400 penunjuk perasaan berkumpul di Ruang Berucap Singapura menggesa siasatan bebas diwujudkan untuk menentukan sama ada Perdana Menteri, Lee Hsien Loong menyalahguna kuasa dalam pertikaian dengan adik-beradiknya mengenai rumah mendiang bapa mereka.

Waris Lee Kuan Yew, perdana menteri pertama Singapura yang meninggal dunia pada 2015, bertelagah sama ada mahu merobohkan rumah keluarga mereka di 38 Jalan Oxley atau membenarkan kerajaan menjadikannya tapak sejarah.

Perbalahan secara terbuka itu menimbulkan persoalan tidak selesa dalam kalangan rakyat yang selama ini bangga dengan kedudukan sebagai negara paling stabil di Asia Tenggara.

Perbezaan jarang berlaku di negara itu, namun isu berkenaan memberi peluang penunjuk perasaan menyuarakan kekecewaan terhadap keluarga yang melahirkan tiga pemimpin menerajui Singapura sejak kemerdekaan pada 1965.

“Singapura milik rakyat, bukan keluarga Lee,” kata penunjuk perasaan pada kain rentang di pentas Ruang Berucap yang disediakan khas untuk penduduk menyuarakan pendapat.

Berdasarkan keadaan di Singapura, jumlah 400 penunjuk perasaan antikerajaan itu, kebanyakannya berusia pertengahan boleh dianggap agak besar.

Walaupun perhimpunan seperti itu memerlukan kebenaran polis, tiada anggota polis berada di lokasi semalam.

Parti utama pembangkang hanya mewakili sejumlah kecil kerusi Parlimen dan tidak banyak memanfaatkan kontroversi berkenaan yang mencetuskan suasana tidak selesa kalangan rakyat sejak pertengahan bulan lalu.

Ahli perniagaan dan aktivis, Osman Sulaiman berkata, kes membabitkan Hsien Loong dan adik beradiknya bukan sekadar isu wasiat Kuan Yew.

“Beliau dituduh menyalahguna kuasa dan tuduhan itu bukan dibuat oleh orang asing, tetapi ahli keluarga yang mempunyai maklumat yang tidak mungkin diketahui orang ramai,” katanya disambut dengan tepukan dan sorakan. – Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here