Penyanyi mahu rapatkan rakyat India dan Pakistan

0
60

NEW YORK: Penyanyi lagu rakyat dan Sufi Pakistan, Sanam Marvi, mempesonakan penonton dengan alunan merdu suaranya pada satu persembahan di Asia Society, New York baru-baru ini.

Dalam temu bual dengan Bernama sejurus sebelum membuat persembahani, beliau menjelaskan lebih mendalam mengenai muziknya dan tafsiran Sufisme(Tasawuf) yang mana disampaikan melalui nyanyiannya dalam bahasa-bahasa Urdu, Sindhi, Punjabi dan Saraiki.

Beliau turut menjelaskan bagaimana dirinya dapat mengatasi sesuatu yang biasa dan menarik perhatian golongan pendengar dari luar budayanya iaitu Tasawuf Asia Selatan.

Berusia 31 tahun, Marvi yang membuat persembahan di beberapa tempat di serata dunia berkata, keutamaannya adalah muzik dan menganggap dirinya sebagai suara untuk tradisi Sufi.

Menyanyi sejak usia tujuh tahun

Beliau menyanyi sejak berusia tujuh tahun, membuat persembahan di Coke Studio di Pakistan serta mengadakan pelbagai persembahan konsert termasuk di Eropah, India, Arab Saudi, Jepun, Australia dan Maghribi.

“Malah, ini adalah kali ketiga saya membuat persembahan di Amerika Syarikat,” katanya.

“Matlamat saya adalah untuk menyebarluaskan mesej Islam dan kebenaran,” kata Marvi dengan suara yang penuh kesungguhan dan keyakinan seperti yang terbukti mampu memukau perhatian dan mempesonakan para penonton yang hadir menyaksikan persembahannya di Asia Society.

Beliau diiringi anggota kumpulannya – Kashif Ali dan Imran Ali, masing-masing bermain tabla (gendang) dan harmonium, Shahid Ali pemetik sitar, Noor Bux bermain Dholak (dram silinder) dan seorang lagi penyanyi yang juga pemuzik, Arieb Azhar.

Tasawuf sering digambarkan sebagai sisi mistik Islam tetapi Arieb Azhar menjelaskan bahawa -ahli Sufi percaya bahawa Tasawuf merangkumi nilai-nilai murni untuk mendekatkan diri kepada tuhan serta berbakti kepada semua manusia.

Tradisi Pakistan Sufi

Pakistan mempunyai tradisi para penyair kudus Sufi sejak sekian lama, yang kebanyakannya disanjung oleh Marvi dalam persembahan-persembahannya.

Tasawuf, kata beliau, diamalkan di Pakistan, India, Iran, Afghanistan, Turki dan beberapa negara Asia serta dikenali dalam pelbagai bentuk. Di India dan Pakistan, ajaran Tasawuf yang lazim adalah Chishtiyah.

Moinuddin Chishti memperkenalkan Chishtiyah di Lahore (Pakistan) dan Ajmer (India) pada pertengahan abad ke-12.

Nyanyian Qawwali, yang disertai dengan tepukan, adalah satu bentuk muzik Sufi yang memuji ketuhanan di Asia Selatan, dan popular di Punjab serta Sindh di Pakistan, di kebanyakan bahagian India, termasuk Hyderabad dan Delhi, serta di Bangladesh.

“Ia adalah antara tradisi muzik yang dapat dikesan wujud sejak lebih daripada 700 tahun lalu,” kata Marvi.

Sufi semakin meresapi arus perdana masa kini 

Sanam Marvi dan kumpulannya adalah dalam rangka lawatan ke seluruh Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada Center Stage Programme.

Ia adalah satu inisiatif diplomasi awam oleh Biro Pendidikan dan Hal Elwal Kebudayaan, U.S. Department of State”s Bureau, yang ditadbir oleh New England Foundation for the Arts dengan kerjasama U.S. Regional Arts Organizations, dan disokong oleh Doris Duke Foundation for Islamic Art.

Program Center Stage Pakistan berjaya dianjurkan berkat usaha Kedutaan AS di Islamabad, Pakistan, dan Henry Luce Foundation.

Populariti Marvi semakin meningkat berikutan penampilan vokal beliau dalam filem-filem Bollywood seperti London Paris New York dan The Dirty Picture.

Muzik Sufi kini seolah-olah semakin meresapi arus perdana. Antara puncanya, seperti kata Marvi, adalah kerana terdapatnya pelbagai inisiatif seperti persembahan muzik klasik popular “Virsa Heritage Revived” yang disiarkan oleh TV Pakistan dan “Coke Studio” yang menyebarluaskan kesedaran dan mencetuskan minat di kalangan orang ramai terhadap muzik Sufi.

Beliau mengakui amat mengagumi perantara program “Virsa Heritage” yang merupakan ikon kebudayaan terkenal dari Lahore, Mian Yousuf Salahuddin yang diibaratkan seorang bapa baginya.

“Saya rasa perkara yang paling penting ialah menyebarkan kalam Sufi,” kata Marvi lalu menjelaskan bahawa ayahnya, seorang penyanyi Sufi, memberikan latihan awal dan galakan dalam nyanyian Sufi.

Beliau juga memberitahu betapa muziknya menjadi semakin popular di India.

Ditanya sama ada mesej mengenai cinta, toleransi dan keamanan yang dibawa melalui nyanyiannya dapat membantu merapatkan hubungan antara India dan Pakistan, yang begitu lama bersengketa sejak mencapai kemerdekaan daripada penjajah British kira-kira 70 tahun lalu, beliau berkata: “Nyanyian saya menyampaikan mesej keamanan, kasih sayang dan toleransi.

“Saya berharap muzik saya akan menyumbang kepada keamanan antara India dan Pakistan. Hakikatnya, budaya kami adalah serupa jadi sewajarnyalah kedua-dua negara mempunyai hubungan yang erat antara satu sama lain dan hidup dalam keadaan aman dan toleransi.

“Saya berdoa agar kedua-dua negara berusaha mencari jalan untuk dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya optimistik sebelum mengakhiri perbualan. —Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here