Penyelewengan wang zakat: Lima pegawai ZPP ditempatkan di MAINPP

0
81



GEORGE TOWN: Lima pegawai Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang dibebaskan daripada tahanan reman berhubung kes penyelewengan zakat negeri akan ditempatkan di Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sehingga kes mereka selesai.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata kesemua pegawai itu kini diberi cuti rehat selama seminggu sebelum mula bertugas di MAINPP minggu depan.

“Mereka akan ditempatkan di MAINPP secara ‘pool‘ sehingga kes mereka selesai. Ini bermaksud mereka ditempatkan sebagai petugas di sana.

“Minggu ini mereka cuti rehat seminggu dan siapa yang boleh terus berada (bertugas) di pejabat Zakat Pulau Pinang akan ditentukan dalam mesyuarat Anggota Lembaga Pengarah ZPP Isnin ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut melantik Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang Datuk Sazali Hussain sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif ZPP.

Dalam pada itu, Abdul Malik berkata ZPP telah menubuhkan sebuah jawatankuasa kewangan yang dipengerusikan pegawai kewangan negeri untuk menjalankan penyiasatan berhubung perjalanan badan itu.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan dianggotai oleh Jawatankuasa Audit ZPP, Ketua Audit Dalaman Kerajaan Negeri, Bendahari Negeri dan pegawai MAINPP sebagai setiausaha jawatankuasa ini.

“Jawatankuasa ini telah mengadakan mesyuarat dan mereka akan memulakan tugas mereka secepat mungkin. Semalam, saya juga mengadakan sesi taklimat dan dialog dengan para kakitangan ZPP selain untuk menyuntik kembali semangat mereka yang hilang.

“Dengan langkah-langkah yang telah dan sedang dilakukan, diharapkan aktiviti dan pentadbiran ZPP terus berjalan lancar untuk membantu golongan asnaf di negeri ini,” katanya.

Bermula 9 Mei lepas, seramai 15 individu termasuk tujuh pegawai kanan ZPP dan kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri ini bagi membantu siasatan kes dakwaan penyelewengan wang zakat untuk projek pembangunan masyarakat ZPP sejak tiga tahun lepas.

Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here