Penyerang ada kaitan dengan Daish

0
63



Manchester: Pengebom berani mati yang membunuh 22 orang di tapak konsert yang sesak dengan kanak-kanak baru kembali dari Libya sebelum dia melakukan kekejaman itu, kata Menteri Dalam Negeri Britain, Amber Rudd.

Rakan sejawatannya dari Perancis pula berkata, lelaki itu mempunyai hubungan dengan Daish dan mungkin pernah melawat Syria.

Bercakap kepada wartawan semalam, Amber berkata, Salman Abedi tidak bertindak seorang diri.

Polis Britain semalam membuat tiga tangkapan baru di Manchester Selatan berkait dengan pengeboman itu.

Mereka bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat mengenai individu yang ditangkap itu.

Amber turut memarahi pegawai Amerika Syarikat kerana membocorkan maklumat mengenai siasatan terhadap serangan Manchester sebelum pihak berkuasa Britain mengumumkannya.

Salman, 22, yang dilahirkan di Britain dari keluarga yang berasal dari Libya meletupkan dirinya awal pagi kelmarin (waktu Malaysia) di Manchester Arena ketika konsert penyanyi pop Amerika Syarikat Ariana Grande hampir tamat.

Ribuan kanak-kanak dan remaja berada di dewan tertutup itu untuk menyaksikan konsert berkenaan.

Antara yang terbunuh ialah seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, beberapa remaja perempuan belasan tahun, seorang lelaki 28 tahun dan pasangan warga Poland yang datang untuk mengambil anak mereka.

Serangan itu turut menyebabkan 64 orang cedera, 20 daripadanya tenat.

“Salman dipercayai tidak bertindak sendirian,” kata Amber.

Dia juga berkata, lelaki itu memang dikenali oleh perkhidmatan keselamatan sebelum serangan itu.

Ketika ditanya sama ada Salman kembali dari Libya baru-baru ini, Amber berkata, ia sudah disahkan.

Di Paris, Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerard Collomb berkata, penyiasat Britain memaklumkan kepada pihak berkuasa Perancis bahawa Salman mungkin turut melawat Syria sebelum ini.

Daish yang berdepan serangan di Syria dan Iraq mendakwa bertanggungjawab terhadap letupan di Manchester itu tetapi terdapat perbezaan fakta dalam pengakuannya mengenai kejadian itu dan kekurangan butir penting.

Salman dilahirkan di Manchester pada 1994 dan ibu bapanya berasal dari Libya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here