Penyiasat Singapura dan Malaysia adakan pertemuan mengenai siasatan 1MDB

0
172
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pihak penyiasat Singapura berada di ibu negara Malaysia untuk membantu pihak berkuasa dengan penyiasatan berkenaan skandal dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada hari ini, lapor Reuters.

Menurut wakil polis Singapura, mereka memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menyelesaikan skandal kewangan tersebut memandangkan kerajaan baru Malaysia sedang berusaha untuk menangani rasuah.

“Rakan kami di Malaysia telah meminta bantuan daripada kami berkaitan dengan siasatan 1MDB, dan kami bersetuju untuk mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur,” katanya.

Sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland sedang menyiasat dakwaan AS4.5 bilion (RM18 bilion) telah hilang daripada dana 1MDB yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Berita berkenaan skandal itu datang seminggu selepas pegawai Malaysia bertemu dengan pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ), dalam siasatan penggubahan wang haram 1MDB.

Singapura telah mengambil tindakan terhadap beberapa bank dan pegawai bank berikutan kegagalan kawalan pengubahan wang haram atas transaksi yang berkaitan dengan 1MDB, termasuk penutupan unit BSI Bank dan Falcon Bank.

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berikrar untuk membuka semula siasatan 1MDB dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bersubahat atau mendapat rasuah berbentuk faedah daripada dana tersebut.

Bekas perdana menteri itu telah dihalang daripada meninggalkan negara dan telah pergi ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberikan keterangan bagi menjelaskan mengenai pemindahan dana 1MDB sebanyak AS$10.6 juta (RM42 juta) .

Minggu lepas, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata dana daripada urus niaga dengan bank pusat dan dana negara daripada Khazanah digunakan oleh kerajaan sebelum ini untuk memenuhi beberapa liabiliti dana negara yang bermasalah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here