Pep tak 'cuak' mainan Liverpool

0
144
Advertisement



NEW YORK: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata, dia tidak terkejut apabila Liverpool tidak kisah mengeluarkan banyak wang pada jendela perpindahan selepas melihat Citiziens menguasai Liga Perdana musim lalu.

Juergen Klopp menggunakan dana diperolehi hasil penjualan Philippe Coutinho ke Barcelona pada Januari lalu dengan berbelanja besar termasuklah mendapatkan penjaga gol Brazil, Alisson dengan harga rekod dunia, minggu lalu.

Mereka juga memperkasakan bahagian tengah dengan membawa masuk Naby Keita dan Fabinho serta menambah sengat di bahagian serangan dengan membeli pemain sayap Switzerland, Xherdan Shaqiri.

Guardiola yang juga berbelanja mewah sejak menyertai City pada 2016 dan menjuarai liga musim lalu dengan rekod 100 mata tidak mengkritik langkah Klopp menjelang aksi persahabatan kedua-dua kelab di New York.

“Setiap kelab akan melakukan apa yang mereka yakin dan saya faham tujuan mereka,” katanya ketika sidang akhbar, awal pagi tadi.

“Liverpool tahu dengan membeli pemain-pemain itu mereka berasakan itu adalah yang terbaik buat mereka.”

“Musim lalu, kami meningkatkan tahap Liga Perdana dengan mencapai 100 mata. Tanda arasnya adalah di sini dan setiap pasukan pasti mahu mencapai tahap ini atau lebih baik lagi,” katanya.

Rekod City itu 19 mata mengatasi Manchester United di tempat kedua dan 25 mata meninggalkan Liverpool di tempat keempat.

Sementara pencabar City mula memperkuatkan pasukan masing-masing, Guardiola pula tetap berpuas hati dengan barisan sedia ada. Hanya Riyad Mahrez dari Leicester City dibawa masuk dengan yuran perpindahan 60 million pounds (RM320 juta).

“Kami akan memikirkannya kemudian tetapi buat masa sekarang, kami sudah cukup baik,” katanya.

“Kami memiliki pemain di setiap posisi dan akan menunggu pada hari terakhir sama ada untuk mendapatkan pemain baru atau tunggu lagi.”

Skuad Guardiola membuka tirai liga dengan menentang Arsenal pada 12 Ogos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here