Perabot tong 'berkarat'

0
18



Alor Gajah: Sentuhan tangan emas dan kreativiti seorang pemuda mengubah tong dram berkarat dan kayu palet terpakai menjadi set perabot serta perhiasan rumah bernilai tinggi.

Muhammad Qadri Ishak, 21, berkata, ketika memulakan perusahaan Januari lalu, tidak ramai yang yakin hasil kerja tangannya itu boleh menarik minat pembeli malah dia turut dikritik dengan teruk.

Namun, selepas hampir enam bulan, usaha Muhammad Qadri mula membuahkan hasil apabila kerap menerima tempahan daripada pelanggan.

“Pada mulanya saya menghasilkan set memanggang untuk kegunaan keluarga namun rekaan itu menarik minat rakan yang singgah ke rumah dan dia menempahnya.

“Sejak itu saya buka tempahan kepada penduduk kampung yang berminat sebelum ambil keputusan untuk lebih serius dalam bidang ini dengan menghasilkan perabot dan perhiasan rumah pula,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Nelayan, Kuala Linggi, Masjid Tanah di sini.

Bermodalkan wang simpanan RM3,000, Muhammad Qadri membuka bengkel di belakang rumah keluarganya selain membeli set alat pertukangan, mesin cat dan kelengkapan kimpalan.

Katanya, antara perabot dihasilkan ialah set ruang tamu membabitkan satu kerusi panjang, dua kerusi kecil dan meja kopi yang kini mendapat permintaan tinggi.

“Saya menggunakan kreativiti dan pengalaman ketika belajar kursus kimpalan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil untuk hasilkan semua ini.

“Dengan sedikit imaginasi, kerajinan, kemahiran mengimpal dan bertukang dimiliki saya kini mampu menjana pendapatan sendiri, memang penat tetapi berbaloi,” katanya.

Menurut Muhammad Qadri, dia sedia menerima tempahan mengikut rekaan yang dikehendaki pelanggan dan kosnya bergantung kepada jenis barangan digunakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here